Belanjawan 2021: Selangor harap aeroangkasa, jalur lebar jadi tumpuan

Bernama
November 3, 2020 04:53 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sektor aeroangkasa di negeri itu kini berdepan cabaran getir dan pihaknya memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kelangsungan industri berkenaan. -Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor berharap sektor aeroangkasa, infrastruktur jalur lebar dan pembinaan hospital baharu menjadi antara tumpuan Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sektor aeroangkasa di negeri itu kini berdepan cabaran getir dan pihaknya memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kelangsungan industri berkenaan.
"Pada masa ini, hanya sekitar 10,000 kapal terbang sahaja yang bergerak di seluruh dunia berbanding kira-kira 25,000 sebelum penularan pandemik COVID-19. Ini menunjukkan hampir 60 peratus sektor berkenaan berdepan masalah besar.
"Negara Eropah dan Amerika Syarikat juga memperkukuhkan sektor tersebut bagi memastikan kelangsungannya kerana permintaan terhadap industri itu pastinya lebih besar selepas pandemik COVID-19 pulih," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur jalur lebar di Selangor juga dilihat perlu diberi pertimbangan dalam pembentangan belanjawan itu kerana ketika ini, capaian jalur lebar di negeri berkenaan adalah pada kadar 60 hingga 70 peratus.
Amirudin berkata mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pembangunan Negeri Selangor sebelum ini menyasarkan infrastruktur jalur lebar siap menjelang 2022 namun jika ia dilengkapkan lebih awal, segala projek berkaitan dalam mencapai aspirasi menjadi negeri pintar dapat dilaksanakan.
"Kerajaan negeri juga berharap kemudahan awam seperti hospital baharu dapat dibina di lokasi berkepadatan penduduk yang tinggi di Selangor. Hospital Tengku Ampuan Rahimah contohnya, mengalami kesesakan pesakit yang kritikal.
"Apatah lagi ketika ini Hospital Sungai Buloh sudah dijadikan hospital COVID-19 menyebabkan pesakit lain terpaksa dihantar ke hospital berdekatan.
"Disebabkan itu, Selangor amat memerlukan hospital yang berkemampuan (menampung jumlah pesakit) dengan kepakaran yang tinggi," katanya.
Justeru, beliau berkata kerajaan negeri berharap cadangan pembinaan hospital baharu dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2021 kerana sebidang tanah berkeluasan 20 hektar di Meru, Klang sudah disediakan untuk tujuan itu.
Pada masa sama, Amirudin berkata pihaknya turut mengharapkan keterbukaan Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan lebih dana kepada Selangor melalui belanjawan itu untuk dimanfaatkan sebaiknya memandangkan 24.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar peringkat nasional adalah disumbangkan negeri tersebut.
-- BERNAMA
#Amirudin Shari #Belanjawan 2021 #Belanjawan #Selangor #Menteri Besar #Belanjawan 2021 Pembangunan Infrastruktur
;