Belanjawan 2021 sedia peluang kedua kepada penganggur

Bernama
November 11, 2020 18:51 MYT
Kerajaan turut bercadang melanjutkan tempoh pemberian Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) selama tiga bulan dengan kos RM150 juta yang dijangka memanfaatkan 130,000 pencari kerja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Inisiatif dicadang kerajaan dalam Belanjawan 2021 mampu memberi mereka yang hilang pekerjaan akibat COVID-19, peluang kedua atau sekurang-kurangnya ruang untuk bernafas semula.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan melihat peruntukan kerajaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya dalam bentuk program ‘place and train’ melalui kursus ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ sebagai satu langkah yang baik.
“Kalau lihat secara keseluruhannya dengan kekangan kewangan, kerajaan sudah buat yang terbaik untuk meletakkan kembali ekonomi pada kedudukan yang betul dan beri bantuan kepada majikan, pekerja dan rakyat,” katanya kepada Bernama.
Ketika membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM1 bilion akan diperuntukkan melalui pelbagai agensi kerajaan bertujuan meningkatkan program kemahiran dan latihan semula pekerja.
Selain itu, sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pelaksanaan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Kerajaan turut bercadang melanjutkan tempoh pemberian Elaun Mencari Pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) selama tiga bulan dengan kos RM150 juta yang dijangka memanfaatkan 130,000 pencari kerja.
Shamsuddin berkata pada tahun ini sahaja berdasarkan data SIP, kira-kira 90,000 pekerja tempatan hilang pekerjaan.
“Jadi mereka yang hilang pekerjaan ini ada jaringan sosial melalui SIP yang kini dilanjutkan lagi tempoh elaunnya selama tiga bulan, jadi jaminannya ada, walaupun hilang pekerjaan mereka tetap mendapat elaun sementara menjalani apa jua kursus untuk mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi bebas Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata apa yang penting ialah aktiviti ekonomi harus berjalan untuk peluang pekerjaan baharu dicipta.
“Apa-apa juga inisiatif kerajaan ia bergantung kepada kecergasan ekonomi. Pekerjaan itu hanya boleh tercipta jika ada aktiviti ekonomi.
“Dalam tempoh pandemik ini, saya fikir soal latihan kemahiran itu semua tidak begitu kritikal buat masa jangka pendek ini, sebab kita bukan nak tingkatkan kemahiran lagi, kita nak supaya pekerjaan itu tidak musnah, sekarang pekerjaan musnah kerana Perintah Kawalan Pergerakan, kerana aktiviti ekonomi terbantut,” katanya.
Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia itu, bagaimanapun berkata beliau menyokong segala inisiatif dilakukan kerajaan sekiranya ia bertujuan mengurangkan jumlah pengangguran yang beliau anggarkan bakal meningkat lebih tinggi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Apa-apa pun ini beban kewangan (program bantuan) kepada kerajaan, tetapi apa pilihan yang kita ada sekarang, kita perlukan aktiviti ekonomi berjalan,” katanya.
Tengku Zafrul turut dilaporkan berkata kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lepas merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik COVID-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.
Namun menurut Tengku Zafrul, melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020.
Dalam menyelaraskan pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja, penubuhan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut diumumkan pada Belanjawan 2021.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #penganggur #COVID-19 #pandemik #MEF #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #Shamsuddin Bardan
;