Belanjawan 2021: Saya nak dengar jawapan Menteri Kewangan, bukan Pengurus Bank - Anwar Ibrahim
Firdaus Azil
November 9, 2020 15:32 MYT
November 9, 2020 15:32 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu pertimbangkan langkah peluasan moratorium, walaupun ia mungkin akan menyebabkan penyusutan keuntungan untuk sektor perbankan di negara ini, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, berdasarkan laporan yang diterima, keuntungan sektor perbankan setiap tahun dianggarkan sekitar RM30 bilion, dan penyerapan sedikit kos untuk memperluaskan moratorium tidak akan mengurangkan keuntungan secara mendadak.
Tegasnya lagi, kajian mendapati bukan sahaja golongan B40 yang terjejas teruk, malahan golongan M40 sudah mula bergelut dengan kos yang terpaksa ditanggung setiap bulan.
“Cuba lihat keuntungan bank…dia tak ada beban. Keuntungan sebelum cukai pada suku tahun pertama 2020 adalah RM8.5 bilion. Suku tahun kedua RM8.3 bilion. Keuntungan untuk 2020 dijangka RM30 bilion.
“Dan bank ini tak ada beban langsung. Tak boleh ke supaya diluaskan lagi moratorium sebab yang hadapi masalah, golongan B40. Tapi sekarang M40 ini sudah bergelut, dan ramai di kalangan mereka akan turun jadi B40. Kalau masih M40, mereka adalah M40 yang bergelut dengan tekanan kewangan,” katanya lagi.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) ketika bangun mencelah berkata, beliau hampir pasti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu menggulung nanti, akan menjawab bahawa kerajaan harus mengambil kira masalah kecairan.
“Saya hampir pasti Menteri Kewangan akan berkata, kalau lanjutkan tempoh moratorium, masalah dengan bank ialah aktiviti principal mereka memberi hutang. Jadi kalau pinjaman tak dibayar balik atas nama moratorium, bank akan hadapi masalah kecairan.
“Itu core business dia. Dan itu akan memberikan kesan kepada rating agency, rating bank, dan juga komitmen bank kepada pemegang saham,” katanya lagi.
Menjawab persoalan itu, Anwar berkata, Kerajaan perlu terus memberi keutamaan menjaga kebajikan rakyat, tatkala negara sedang dihimpit dengan masalah pandemik COVID-19.
“Saya nak dengar jawapan seorang Menteri Kewangan, bukan seorang Pengurus Bank. Angka yang disebut, exposure, katalah 5%. Itu hanya RM2.6 bilion berbanding keuntungan RM30 bilion sektor perbankan,” katanya lagi.
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021 KLIK DI SINI
Menyambung perbahasan, Anwar berkata, beliau juga turut menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan perbelanjaan pembangunan (CapEx) dalam Belanjawan 2021, iaitu sebanyak RM69 bilion.
Beliau berkata, tidak ada masalah sekiranya projek mega seperti Lebuhraya Pan-Borneo diteruskan, tetapi mungkin dapat dipertimbangkan sekiranya skalanya dikecilkan dahulu.
Ujarnya lagi, lebih baik peningkatan perbelanjaan pembangunan itu diasingkan, dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang COVID-19.
“Saya usulkan RM19 bilion yang dimasukkan kepada Dana Pembangunan itu, mesti dipindahkan dan diperbetulkan supaya dapat selesaikan masalah pengangguran, dan juga beberapa kegiatan kecil-kecilan berkaitan pelancongan, pendidikan, kemudahan digital, komputer untuk pembelajaran dalam talian dan sebagainya.
“Peruntukan yang diwar-warkan sebagai Belanjawan COVID-19 ini tidak menepati kerana tak dapat tangani masalah petani, termasuk penanam padi, nelayan dan jumlah besar yang menganggur, atau yang diminat bekerja dekat rumah, tapi tidak diberi elaun seperti bil elektrik, dan internet,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim
#Ketua Pembangkang
#Tengku Zafrul
#Menteri Kewangan
#pengurus bank
#Moratorium
#Belanjawan 2021
#Parlimen
#cukai
#rakyat
#menteri
#nelayan
#undang-undang
#Dewan Rakyat
#COVID-19