Belanjawan 2021: Saya bukan bangkang semata-mata untuk membangkang - Dr Dzulkefly

Firdaus Azil
November 29, 2020 15:49 MYT
Dr Dzulkefly berkata, beliau mahukan belanjawan yang terbaik untuk rakyat, khususnya berkaitan dengan sektor kesihatan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly hari ini menegaskan tindakan beliau membantah kelulusan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 minggu lepas, bukan semata-mata membangkang tanpa asas yang kukuh.
Jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, beliau membuat keputusan berkenaan kerana benar-benar mahukan belanjawan yang terbaik untuk rakyat, khususnya berkaitan dengan sektor kesihatan.
Dr Dzulkefly berkata, tidak timbul isu bahawa bantahan berkenaan adalah untuk menguatkan langkah mengusulkan undi tidak percaya atau mahu menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Saya sentiasa jelaskan mengenai perkara ini bahawa ia adalah dua perkara berbeza, iaitu belanjawan dan nak menjatuhkan Kerajaan ataupun Perdana Menteri. Walaupun dalam satu hal mungkin sahaja boleh disekalikan.
“Pada saya, kita berbincang dengan apa yang disebut Yang di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen itu bertanggungjawab dan mengambil pertanggungjawaban untuk berbahas dengan yang terbaik. Pada saya adalah untuk mendapatkan belanjawan yang terbaik, khususnya kesihatan,” tegasnya lagi.
Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat Dasar oleh Dewan Rakyat pada Khamis lepas, selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan lebih suara yang bersetuju berbanding tidak.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar kemudiannya bangkit memohon agar diadakan undi berbelah bahagi, namun ia tidak dapat dilakukan ekoran hanya 13 Ahli Parlimen, termasuk Dr Dzulkefly berdiri untuk menyokong usul tersebut.
BACA: Belanjawan 2021: Pembangkang perlu kemuka cadangan konstruktif, bukan bergantung undian belah bahagi
BACA: Perbahasan belanjawan pada peringkat jawatankuasa minggu depan
BACA: DAP harus pertimbang putus hubungan dengan PKR jika Anwar enggan mohon maaf - DAPSY
Situasi itu menimbulkan kemarahan terhadap Pakatan Harapan, khususnya kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mengakui memberi arahan pada minit-minit terakhir untuk membiarkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu diluluskan pada peringkat dasar.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, beliau selesa untuk merumuskan bahawa yang duduk itu betul, dan yang bangkit (menyokong usul undi belah bahagi) itu pun tak salah, kerana ada perkara yang diminta oleh pembangkang, diberi pertimbangan sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Itu sekali gus menunjukkan semacam kami tidak mempunyai muafakat atau tidak punya agreement dan persefahaman. Dan yang nyata hanya 13 dan yang lain duduk. Ringkasnya saya sebutkan, kalau saya rumuskan yang duduk itu betul. Dan yang bangkit itu pun tak salah.
“Kerana kita berpandukan pada satu cita-cita, yakni nak memastikan Belanjawan itu yang terbaik untuk rakyat, dan kita dalam proses untuk memperbaiki Belanjawan itu. Dan diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul pada ketika itu, apa yang kita dengar pada penggulungan itu, beliau telah menambah beberapa peruntukan yang saya kira adalah peruntukan yang tidak ada pun dalam anggaran perbelanjaan,” katanya lagi.
Bergerak ke hadapan, Dr Dzulkefly berkata, beliau berjanji akan memberi perhatian yang lebih kepada setiap butiran, terutamanya mengenai peruntukan RM3 bilion yang disebut akan digunakan untuk perolehan vaksin.
“Dalam hal ini saya tegaskan belanjawan ini bukan masanya untuk kita pertikaikan defisit dan defisit fiskal, atau hutang dan sebagainya. Tapi kita kena belanja sekarang ini. Cumanya perbelanjaan itu mestilah perbelanjaan yang tepat, wajar dan dipertanggungjawabkan.
“Balik kepada RM3 bilion itu memang tak ada. Seolah-olah seperti ia akan dibuat dalam supplementary budget, ataupun dibuat dalam off-budget spending. Di sinilah perkara perkara yang kami pertikaikan. Bukan saja nak pertikai atau bangkang. Bukan. Saya tidak berdiri di atas slogan bangkang untuk bangkang ni,” katanya lagi.
#Dr Dzulkefly Ahmad #bekas Menteri Kesihatan #Belanjawan 2021 #Ahli Parlimen Kuala Selangor #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #Pakatan Harapan #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim #undi tidak percaya #pembangkang #kesihatan #rakyat #menteri #undang-undang
;