Belanjawan 2021: RM500 juta untuk pelaksanaan JENDELA

Astro Awani
November 6, 2020 18:13 MYT
Kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, JENDELA.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh Malaysia meliputi semua negeri.
Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar.
"Kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh Malaysia meliputi semua negeri," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini pada Jumaat.
Ujarnya, jaringan telekomunikasi kini boleh dianggap sebagai utiliti ketiga dan dalam suasana norma baharu, perkhidmatan secara maya sudah menjadi kelaziman.
"Pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi adalah perlu bagi menampung keperluan gaya hidup digital," ujarnya lagi.
Pada masa sama, kerajaan mengumumkan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 buah sekolah sebagai projek rintis.
Projek ini akan diselia oleh Yayasan Hasanah.
"Pendidikan ialah pelaburan yang paling penting dalam memastikan kualiti kehidupan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
"Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan," tambahnya.
PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
#Jalinan Digital Negara #JENDELA #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #Menteri Kewangan #Tabung CERDIK #sekolah #GLC #GLIC #Belanjawan 2021 Digitalisasi
;