Belanjawan 2021: RM3 bilion untuk vaksin COVID-19 diperuntukkan

Fareez Azman
November 6, 2020 09:35 MYT
Bagi mengalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan juga bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan. - Gambar hiasan BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk mendapatkan sumber vaksin COVID-19 melalui penyertaan dalam program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, komitmen itu akan melibatkan kos melebihi RM 3 bilion bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.
Di samping itu, beliau berkata, bagi mengalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan juga bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan.
"Kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta COVID-19.
"Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anak-anak terhad kepada RM 1,000," kata beliau dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, kerajaan kata, Tengku Zafrul, akan menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius daripada RM6,000 kepada RM8,000.
"Had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.
“Sebagai tambahan, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa juga dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000," kata beliau lagi.
PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
#perubatan #vaksin COVID-19 #KKM #kerajaan #Menteri Kewangan #Belanjawan 2021 #COVAX #Had pelepasan cukai #Perbelanjaan vaksinasi diri #Belanjawan 2021 Kesihatan