Belanjawan 2021: RM1 bilion diperuntukkan bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam berkaitan COVID-19

Fareez Azman
November 6, 2020 17:09 MYT
Sebanyak RM475 juta diperuntukkan bagi pembelian bekalan Reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan. - Gambar hiasan BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi Perkhidmatan Kesihatan Awam berkaitan COVID-19 bagi tahun 2021.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, peruntukan itu meliputi pembelian bekalan Reagen, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan perolehan peralatan serta bekalan peralatan dan ubat-ubatan di hospital.
"Peruntukan ini antaranya merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan Reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).
"(Manakala) RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser (cecair pembasmi kuman) kepada petugas barisan hadapan KKM dan RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19," kata Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi kos pembelian peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di hospital pengajar universiti.
"Kerajaan juga akan menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu," kata Tengku Zafrul lagi.
PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021
#Menteri Kewangan #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #menteri #Dewan Rakyat #Belanjawan 2021 #Peruntukan Perkhidmatan Kesihatan Awam #Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2021 #COVID-19 #Peralatan Hospital #petugas barisan hadapan #Belanjawan 2021 Kesihatan
;