Belanjawan 2021: Rakyat terhimpit dengan COVID-19, beri kelonggaran pengeluaran KWSP - Anwar

Firdaus Azil
November 9, 2020 14:52 MYT
Anwar mencadangkan agar had pengeluaran lebih tinggi dibenarkan, kerana tidak munasabah untuk sesetengah kes di mana seorang ketua keluarga dengan lima hingga enam orang anak, hanya boleh mengeluarkan RM500 sebulan.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rakyat yang benar-benar terdesak sepatutnya dibenarkan membuat pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerana itu adalah hak mereka, tegas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, secara prinsipnya, dirinya sendiri tidak begitu bersetuju kerana wang itu adalah untuk masa hadapan.
Tetapi, ujar Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, rakyat harus diberi kelonggaran sekiranya benar-benar terhimpit dengan kesan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ada menyebut, kalau ikutkan dia sendiri pun tidak setuju tapi terpaksa kerana desakan rakyat.
“Perdana Menteri tak faham, rakyat itu pilih nak keluarkan KWSP kerana terpaksa. Saya faham kalau tanya saya, saya kurang setuju kerana pada prinsipnya. KWPS itu bersara masa depan. Tetapi kalau terdesak nak hidup susah, bagi lah mereka keluarkan hak sendiri,” katanya lagi.
Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan belanjawan tersebut berkata, Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP secara bersasar bermula tahun hadapan.
Beliau berkata, pengeluaran itu adalah khusus bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mencadangkan agar had pengeluaran lebih tinggi dibenarkan, kerana tidak munasabah untuk sesetengah kes di mana seorang ketua keluarga dengan lima hingga enam orang anak, hanya boleh mengeluarkan RM500 sebulan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Kerajaan mempertimbangkan untuk menerbitkan bond atau sukuk dengan anggara nilai RM4 bilion, supaya dana ini juga boleh diberikan sebahagian daripadanya kepada pencarum KWSP dan rakyat Malaysia yang benar-benar terdesak.
Ujarnya lagi, penerbitan sukuk itu dijangka hanya meningkatkan defisit perbelanjaan kerajaan pada kadar 0.3% sahaja.
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, BACA DI SINI
#Anwar Ibrahim #Ketua Pembangkang #Pakatan Harapan #Dewan Rakyat #KWSP #EPF #Parlimen #undang-undang #Belanjawan 2021 #COVID-19 #rakyat Malaysia
;