Belanjawan 2021: PH kemuka enam cadangan kepada Kementerian Kewangan

Hasimi Muhamad
November 1, 2020 18:09 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan kerajaan sehingga krisis COVID-19 berakhir. - Foto Astro AWANI/Hasimi Muhamad
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) mengemukakan enam cadangan utama kepada Kementerian Kewangan untuk Belanjawan Perpaduan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.
Antara cadangan tersebut termasuk memperkasakan perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia termasuk meningkatkan bantuan kebajikan kepada RM1,000 sebagaimana dijanjikan kerajaan sehingga krisis COVID-19 berakhir.
“Belanjawan 2021 harus fokus untuk memenuhi keperluan ekonomi rakyat Malaysia, dengan mewujudkan dan memelihara pekerjaan rakyat, dan memastikan perniagaan dibantu untuk mereka terus bertahan.
BACA: Belanjawan 2021: Wakil pemimpin Pakatan Harapan jumpa Menteri Kewangan
“Secara asasnya, kami mendesak kerajaan untuk menerapkan dasar fiskal yang mengembang dengan tujuan utama untuk meringankan cabaran aliran tunai rakyat dan syarikat,” katanya dalam sidang media di perkarangan bangunan Kementerian Kewangan, di sini pada Ahad.
Sidang media bersama itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH turut mencadangkan agar moratorium dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021.
Berikut merupakan cadangan-cadangan lain:
- Meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan untuk COVID-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
- Subsidi upah diteruskan sehingga 31 Mac 2021 dan mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion.
- Peningkatan perbelanjaan pendidikan untuk memastikan kelangsungan pendidikan.
Sehubungan itu, Saifuddin berkata PH berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan Belanjawan Perpaduan tersebut.
Dalam pada yang sama, beliau menegaskan PH menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
#Belanjawan Perpaduan 2021 #Belanjawan 2021 #Pakatan Harapan #PH #Kementerian Kewangan #Setiausaha Agung PKR #PKR #Saifuddin Nasution Ismail #Amanah #DAP #Mohamad Sabu #Lim Guan Eng
;