Belanjawan 2021: Peruntukan RM1 bilion untuk Skim Transformasi Pendigitalan Industri
Astro Awani
November 6, 2020 18:41 MYT
November 6, 2020 18:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.
"Strategi ketiga adalah untuk mengutama automasi dan pendigitalan. Bergerak ke hadapan, Kerajaan akan menumpukan kepada produktiviti jangka panjang melalui penggunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
"Kerajaan melalui BPMB akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai 1 bilion ringgit bertujuan merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.
Katanya, bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi, dana tambahan berjumlah 150 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi.
"Syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan," tambah beliau lagi.
#Skim Transformasi Pendigitalan Industri
#Bank Pembangunan Malaysia Berhad
#Belanjawan 2021
#Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz