Belanjawan 2021 perlu diluluskan untuk segerakan penyelenggaraan sekolah
Hasimi Muhamad
November 24, 2020 16:38 MYT
November 24, 2020 16:38 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran (KPM) menaruh harapan tinggi agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Dewan Rakyat, yang dijangka pada sesi pengundian pada Khamis ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin berkata, ia penting bagi memastikan penyelenggaraan sekolah dapat dilakukan dengan segera untuk memastikan sesi pembelajaran pada tahun depan berjalan dalam suasana yang lebih kondusif.
“Kita nak bila sekolah dibuka nanti pada awal tahun hadapan kita dapat teruskan dengan penyelenggaraan ini supaya anak-anak kita selesa di sekolah.
“Apabila kita melihat kembali apa yang berlaku dalam (tempoh pandemik) COVID-19, ini yang kami duduk fikir balik selepas melawat sekolah-sekolah. Ada bilik darjah yang tidak boleh diguna sebab bocor sejak bertahun-tahun,” katanya dalam sidang media di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata penjarakan fizikal sukar untuk dilakukan berikutan kerosakan dan bilangan bilik darjah yang sedikit, di kawasan-kawasan tertentu.
Keadaan itu katanya, telah menyebabkan kos penyelenggaraan sekolah meningkat.
“Sebab itu amat penting untuk kita, dalam konteks (melaksanakan) penyelenggaraan ini secara menyeluruh khususnya bagi mewujudkan satu persekitaran yang selesa untuk anak-anak kita dapat kembali ke sekolah pada 2021,” jelasnya lagi.
Terdahulu, KPM menerima peruntukan sebanyak RM50.4 bilion dalam Belanjawan 2021.
Daripada jumlah tersebut, RM800 juta diperuntukan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan serta sekolah bantuan kerajaan.
#Dewan Rakyat
#COVID-19
#kerajaan
#sekolah
#Peruntukan penyelenggaraan sekolah
#Belanjawan 2021
#Dr Radzi Jidin