Belanjawan 2021 penuh nilai kemanusiaan, 'perisai' hadapi cabaran COVID-19

Bernama
November 7, 2020 16:12 MYT
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, pada Jumaat. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menerusi peruntukan berjumlah RM322.5 bilion, terbesar dalam sejarah Malaysia, Belanjawan 2021 dilihat sebagai belanjawan yang bakal menjadi 'perisai' negara dalam mendepani pelbagai cabaran kesan pandemik COVID-19.
Belanjawan bertemakan "Teguh Kita, Menang Bersama" yang menjadi pertaruhan sulung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengembalikan kesejahteraan negara ini, dilihat pemerhati ekonomi sebagai mampu meningkatkan kecairan tunai rakyat, sekali gus menyeimbangkan keperluan ekonomi rakyat dan negara.
Jika peruntukan sebelum ini lebih tertumpu pada aspek pembangunan dan usaha meningkatkan ekonomi negara, kali ini kerajaan meletakkan keutamaan melindungi, memulih dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat yang terkesan oleh pandemik COVID-19. Banyak perkara yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkisar tentang proses pemulihan daripada wabak tersebut.
Belanjawan kali ini juga dilihat cukup istimewa kerana membawa nilai penuh kemanusiaan dalam menghadapi situasi cukup mencabar antaranya dengan menghargai petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan melalui pemberian insentif "one off" sebanyak RM500 atas pengorbanan mereka dalam membantu menangani pandemik yang melanda negara sejak Januari lalu.
Selain itu, keprihatian kerajaan juga boleh dilihat apabila mendengar keluh-kesah rakyat terutama yang kehilangan pekerjaan berikutan penularan wabak itu yang menjejaskan hampir semua negara di dunia. Kadar pengangguran 4.7 peratus pada Ogos lalu dilihat masih tinggi walaupun hampir semua sektor ekonomi telah digerakkan semula susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Wye Chung Khain, Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam memperlihatkan usaha serius kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran rakyat Malaysia melalui pemadanan kerja yang lebih cekap, pengurangan kos pengambilan pekerja, dan penambahbaikan kemahiran teknikal mendepani Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
BACA: LAPOR LANGSUNG: Belanjawan 2021 - Teguh Kita, Menang Bersama!
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI!
BACA: Belanjawan 2021: Ucapan penuh Menteri Kewangan
Beliau berkata pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dapat mencipta peluang pekerjaan baharu dan penawaran latihan bersesuaian dengan keperluan pasaran buruh bagi mempermudahkan pemadanan di antara majikan dan pemohon kerja.
Ujar beliau tempoh pelaksanaan program subsidi upah selama tiga bulan lagi yang lebih disasarkan kepada pekerja terkesan daripada sektor pelancongan dan sektor peruncitan, dijangka dapat meringankan bebanan kos pembayaran upah dalam kalangan majikan.
"Peningkatan had pekerja bagi setiap permohonan subsidi upah juga dijangka mengurangkan kecenderungan pihak majikan memberhentikan pekerja atas kekangan kos susulan kejatuhan permintaan daripada pengguna akibat wabak COVID-19," katanya kepada Bernama, mengulas tentang pembentangan Belanjawan 2021.
Wye berkata pelanjutan tempoh pemberian elaun mencari pekerjaan selama tiga bulan di bawah Skim Insurans Pekerjaan juga dijangka dapat meringankan bebanan kos sara hidup penganggur yang kehilangan kerja akibat penularan wabak COVID-19 yang tempoh berakhirnya tidak terjangka.
Insentif kewangan yang diberikan kepada graduan tempatan dalam pengambilan kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta dijangka dapat menambah baik kemahiran teknikal mereka agar peranan mereka tidak mudah digantikan oleh kecerdasan buatan dan proses automasi dalam era Industri 4.0, katanya.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Abdul Rahim Abdul Samad pula berkata Malaysia yang kini dalam fasa pemulihan, mampu mencapai objektif pemulihan ekonomi melalui Belanjawan 2021 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin sebelum ini.
"Keseluruhan pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini bernilai RM305 bilion atau 20.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini satu jumlah yang amat besar yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi proses pemulihan ini, dan dengan bajet sebanyak RM322.5 bilion yang dibentangkan semalam dilihat sangat menyeluruh," katanya, menambah proses pemulihan ini mendukung tiga matlamat utama iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
Bagi kesejahteraan rakyat, Abdul Rahim berkata pelbagai bantuan diberikan kepada golongan B40, misalnya program baucar perlindungan tenang, peminjam daripada golongan itu juga diberi pilihan penangguhan ansuran, peluang pekerjaan bagi golongan bersasar, Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR, program jaringan prihatin (bantuan untuk mendapatkan Internet) dan bermacam-macam lagi termasuk peluasan skop pelepasan cukai.
Pendedahan Menteri Kewangan tentang kejayaan beberapa individu memulakan perniagaan mereka dengan menggunakan duit Bantuan Prihatin Nasional dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, menunjukkan kerajaan amat prihatin kepada kesejahteraan rakyat dan mendengar keluh-kesah mereka.
Ini diterjemahkan daripada pengumuman yang mengembirakan rakyat iaitu kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 selama 12 bulan.
Jelas beliau golongan rakyat daripada kelompok peniaga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro juga tidak dilupakan untuk menjamin kelangsungan perniagaan mereka dengan bantuan PKS mikro bumiputera sebanyak RM510 juta dan bantuan Bank Pembangunan dan SME Bank sebanyak RM800 juta.
"Secara keseluruhan ketahanan ekonomi akan dapat dicapai melalui pelbagai peruntukan yang disalurkan kerajaan melalui bajet 2021. Boleh saya simpulkan di sini, bajet 2021 ini adalah bajet yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan semua pihak harus bersatu dalam mendepani cabaran rakyat, perniagaan dan prestasi ekonomi kesan daripada pandemic COVID-19," katanya.
Sementara itu, Prof Dr Jamal Othman daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai seimbang dan adil, dengan tema yang digariskan mencerminkan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan yang diyakini dapat menggembirakan segenap lapisan masyarakat.
Ujar beliau, aspek kelestarian ekonomi terutamanya yang terkait dengan matlamat pembangunan lestari, penerbitan sukuk/bon untuk program alam sekitar serta pemberdayaan ekonomi berasaskan komuniti melalui pendekatan wakaf adalah antara tarikan belanjawan kali ini.
"Saya fikir aspek ini akan dilihat para pelabur sebagai sesuatu yang kondusif kerana ia bercirikan ekonomi berdaya tahan dan memberi perhatian tinggi kepada kesejahteraan mampan," katanya yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Negara.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #COVID-19 #Perikatan Nasional #PN #Menteri Kewangan #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #PKS
;