Belanjawan 2021: Peniaga letak harapan tinggi agar tidak dilupakan

Umavathi Ramayah
November 4, 2020 12:17 MYT
Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, para peniaga meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan supaya mereka tidak dilupakan.
KUALA LUMPUR: Menjelang pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini, para peniaga meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan supaya mereka tidak dilupakan.
Malah mereka berharap kerajaan dapat memberikan pinjaman atau geran berbentuk modal pusingan kepada peniaga-peniaga kecil bagi terus menjalankan perniagaan.
Seorang peniaga sayur di pasar Chow Kit, Joriah Hashim, 53, berkata, kerajaan seharusnya melonggarkan syarat pinjaman termasuk mempertimbangkan pinjaman tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil dalam Belanjawan 2021 kali ini.
"Penularan COVID-19 sejak awal tahun ini memberi kesan besar ekoran beberapa larangan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
"Kami terpaksa menutup gerai lebih awal dan duit kami sekarang tidak cukup," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nor Ismail Noordin, 56, menggesa kerajaan supaya memberi bantuan kewangan sekurang-kurangnya RM3,000 kepada para peniaga yang terjejas teruk.
"Kalau tak boleh sekali bayaran, dua kali pun tak apa. Keadaan sekarang, perniagaan sangat teruk. Ada kawan-kawan penjaja yang terpaksa tutup kedai," tambahnya.
Dalam pada itu, Soi Loi, 90, yang sudah lebih 50 tahun berniaga, memberitahu, pelanggan tidak lagi membeli barang seperti sebelum COVID-19.
"Apa yang saya boleh harapkan pada usia ini adalah bantuan daripada kerajaan.
"Saya harap kerajaan akan mempertimbang untuk bayaran sewa gerai yang di bawah kendalian kerajaan sekurang-kurangnya untuk satu tahun," katanya.
Seorang lagi peniaga, Rosnale M Noor, 50, juga senada dengan Soi Loi yang mengharapkan kerajaan mempertimbangkan pengecualian bayaran pembaharuan lesen perniagaan sebanyak RM240 pada setiap tahun, untuk masa terdekat.
"Walaupun sedikit, ia amat membantu kami (penjaja)," katanya.
#Belanjawan 2021 #peniaga #geran pinjaman #modal pusingan #sewa gerai #Bajet 2021 #bajet perpaduan
;