Belanjawan 2021: Pengecualian levi tabung HRDF 6 bulan kepada syarikat terjejas

Umavathi Ramayah
November 6, 2020 19:14 MYT
Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas berikutan COVID-19, kerajaan memberi pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Azis berkata, pengecualian tersebut meliputi sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas.
"Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas, pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah.
"Geran khas ini juga akan diberikan kepada teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah," jelasnya.
Katanya, kerajaan sentiasa mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong.
#pelancongan #pengeculaian levi #Kementerian Kewangan #Belanjawan 2021 #bajet perpaduan
;