Belanjawan 2021: Pemimpin politik perlu ketepikan perbezaan, terjemah sokongan demi rakyat - Penganalisis

Fareez Azman
November 23, 2020 16:35 MYT
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, ahli politik boleh menterjemahkan sokongan terhadap Belanjawan 2021 yang memanfaatkan rakyat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu mengenepikan perbezaan politik dengan menterjemahkan sokongan ke atas Belanjawan 2021.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian, pada masa sama, kerajaan juga perlu memperhalusi setiap cadangan yang diberikan jika ianya benar-benar memanfaatkan rakyat.
"Terbaik kali ini, menunjukkan sokongan ke atas bajet mengenepikan perbezaan politik supaya rakyat tahu pemimpin bertanggungjawab ke atas apa yang perlu dilakukan untuk masa depan negara.
"Kerana walaupun ada perbezaan pandangan, penerimaan, bagi pihak kerajaan sudah pasti boleh memperhalusi cadangan-cadangan tersebut dan bagi pembangkang boleh melihat ini adalah satu agenda rakyat," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI.
Malah ujar Siva, Belanjawan 2021 kali ini dapat melihat bagaimana lebih banyak agenda rakyat diangkat terutama ketika pandemik COVID-19 memberi kesan mendalam ke atas ekonomi.
"Saya rasa dalam dua minggu ini, banyak kedengaran perkara-perkara yang tidak kita kedengaran beberapa bulan lepas. Bagaimana nak meningkatkan soal rakyat, kebajikan rakyat, jadi ini masanya pastikan bajet ini mempamer kekuatan pemimpin sendiri menterjemahkan sokongan ke atas agenda rakyat.
"Sudah pasti ada keterbatasan harus dibolosi, bucu-bucu itulah harus diperbaiki supaya ia diangkat bersama. Tetapi dilemanya juga jika sekiranya pada 26 November ini, selepas itu ada satu siri kelulusan peringkat kementerian, apakah di pihak kementerian tidak akan diusik lagi selepas kelulusan peringkat besar ini.
"Ini antara perkara-perkara yang berlaku, buat masa ini bajet itu penting bukan sahaja untuk pemimpin tetapi untuk rakyat," katanya lagi.
#Astro Awani #COVID-19 #ekonomi #ahli politik #pembangkang #kerajaan #rakyat #sokongan #Bajet 2021 #Parlimen #Sidang Dewan Rakyat #Menteri Kewangan
;