Belanjawan 2021: Pejuang mahu teliti dahulu sebelum beri sokongan
Harits Asyraf Hasnan
November 1, 2020 22:21 MYT
November 1, 2020 22:21 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu supaya kandungan Belanjawan 2021 diteliti terlebih dahulu sebelum keputusan untuk memberi sokongan dibuat.
Gesaan itu dibuat Ahli-ahli Parlimen Bebas yang bernaung di bawah Pejuang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).
"Kami merasakan memberi persetujuan tanpa terlebih dahulu meneliti isi kandungan belanjawan tersebut adalah tidak bertanggungjawab.
"Kami ingin memastikan Belanjawan ini dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan menghidupkan semula ekonomi negara.
"Kami juga mempunyai pandangan dan idea bagaimana kita boleh membantu mengatasi bahagian-bahagian tertentu masalah ekonomi negara.
"Ini bukanlah bertujuan politik tetapi hanya untuk menunai janji kami kepada rakyat," memetik kenyataan bersama tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, nama Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) tidak tersenarai dalam kenyataan tersebut.
Menerusi kenyataan itu juga, mereka turut berpandangan bahawa kerajaan dan menteri-menteri ketika ini tidak berfungsi seperti yang diharapkan oleh rakyat, sebaliknya hanya menumpukan kepada kedudukan politik masing-masing.
"Kami faham keluh kesah rakyat yang sudah bosan dengan politik kepartian lebih daripada kepentingan rakyat.
"Sebarang keputusan di Parlimen atau sebarang langkah di Parlimen perlu lah berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya," memetik kenyataan itu.
Mereka pada masa sama, menyambut baik saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk tidak meletakkan calon untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Ahad mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil parti dalam Pakatan Harapan (PH) berkait Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan pada 6 November ini.
#Belanjawan 2021
#Mahathir Mohamad
#Mukhriz Mahathir
#Maszlee Malik
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#pilihan raya
#ekonomi
#politik