Belanjawan 2021: MY30 jimatkan separuh kos pengguna harian pengangkutan awam
Fareez Azman
November 19, 2020 19:35 MYT
November 19, 2020 19:35 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif pas perjalanan tanpa had MY30 yang diperluaskan dalam Belanjawan 2021 dilihat memberi kesan positif kepada pengguna.
Malah hampir separuh daripada kos yang terpaksa ditanggung pengguna dapat dijimatkan sekali gus tidak membebankan rakyat terutama ketika pandemik COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Masa (MRT) mendapati, rata-rata pengguna menyambut baik inisiatif kerajaan menerusi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana).
Menurut pegawai bank, Wan Farah Wan Aminuddin, 30, perbelanjaan perjalanannya setiap hari kini dapat dikurangkan lebih 50 peratus berbanding sebelum ini.
"Kalau kira memang kurang daripada separuh perbelanjaan, contoh sebulan saya bayar RM90, sekarang cuma RM30 memang sangat jimat. Saya mula gunakan MY30 ini sejak mula dilancarkan Jun lalu. Memang sangat bagus, terima kasih atas inisiatif ini," ujarnya.
Sementara itu, bagi pelukis, Syed Nasroon Syed Ishak, 25, MY30 bukan hanya digunakan untuk berulang alik dari tempat kerja ke rumah, malah memudahkan beliau sebagai anak muda untuk ke mana sahaja dengan kos yang rendah.
"Amat bagus tidak MY30 ini sebab lebih menjimatkan setiap hari... tidak tentu bila MY30 boleh saya guna tanpa had. Setiap hari pergi kerja dan balik, biasanya sebelum ada MY30, saya bayar dalam RM6 lebih, sekarang terasa ringan beban," katanya.
Kisah sama dikongsi pengurus hotel, Khairul Nizam Roslan, 41, yang berpendapat pas perjalanan tanpa had itu sangat bermakna untuknya berjalan di sekitar Lembah Klang termasuk beriadah.
"Saya mula pakai MY30 ini sejak bulan Jun, perbelanjaannya bagi saya sangat jimat dengan RM30, tiada had perjalanan walaupun naik LRT, MRT dan Monorail sangat menjimatkan. Saya gemar berjalan, sehari tiga hingga empat kali saya berjalan, jadi mengurangkan beban sangat," ujarnya.
Pada 6 November lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara lain mengumumkan kerajaan akan meneruskan inisiatif pas perjalanan tanpa had My30 dan memperluaskannya ke Pulau Pinang dan Kuantan dengan peruntukan keseluruhan RM300 juta.
Menurut beliau, inisiatif itu bagi membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana dengan harga RM30 sebulan.
Inisiatif itu melibatkan empat perkhidmatan LRT, MRT, KL Monorail dan bas Rapid KL yang dianggarkan memberi manfaat kepada lebih sejuta pengguna.
#My30
#prasarana
#RapidKL
#LRT
#MRT
#Monorail
#Kuala Lumpur
#Lembah Klang
#Penduduk
#rakyat
#Pas perjalanan tanpa had
#Belanjawan 2021
#Menteri Kewangan
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Azi
#Pandemik COVID-19
#bas
#pengangkutan awam