Belanjawan 2021 membolehkan proses pendigitalan seluruh negara
Rahimah Abdullah
November 9, 2020 11:00 MYT
November 9, 2020 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan perluasan jalur lebar yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 membolehkan proses transformasi pendigitalan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Mahadhir Aziz berkata, antara lain, ia bakal menyaksikan penambahbaikan dari segi kemudahan dan jaringan komunikasi yang diperlukan rakyat.
"Saya berpendapat dari segi proses pendigitalan negara untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan perniagaan yang penting seperti kemudahan dan jaringan komunikasi perlu diadakan.
"Dengan langkah itu, kerajaan dalam Belanjawan 2021 menekankan aspek dan peruntukan kepada kemudahan komunikasi seperti JENDELA dan perluasan jalur lebar. Projek berikut penting untuk membolehkan proses transformasi pendigitalan di seluruh negara," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin.
Ujarnya, krisis pandemik COVID-19 membuktikan beberapa perkara yang selama ini yang disifatkan tidak pasti, namun mampu dilaksanakan termasuk inisiatif Bekerja dari Rumah dan penggunaan eWallet.
"Perkara itu termasuk transformasi ke arah bekerja di luar pejabat, kebolehan rakyat menerima e-wallet. Namun sekarang ini membuktikan rakyat boleh dan memerlukannya.
"Namun, sekarang kita kekurangan dari segi aspek akses kepada peranti dan infrastruktur," katanya.
Selain itu kata beliau, masih terdapat sesetengah sektor termasuk pendidikan dan perniagaan yang masih kekurangan akses kemudahan komunikasi.
"Jadi, kita juga nampak peruntukan diberikan kepada sektor-sektor tersebut," tambahnya.