Belanjawan 2021: Masih awal untuk pembangkang nyatakan sokongan

Hasimi Muhamad
November 1, 2020 18:33 MYT
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses rundingan bersama Kementerian Kewangan berhubung Belanjawan Perpaduan 2021 tidak melibatkan penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan masih terlalu awal untuk pihak pembangkang menyatakan sama ada mereka memberikan sokongan atau sebaliknya kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses rundingan bersama Kementerian Kewangan berhubung Belanjawan Perpaduan 2021 tidak melibatkan penerimaan PH dalam soal keabsahan kerajaan.
Tegas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, pertemuan yang berlangsung dua jam itu hanyalah sesi libat urus kali pertama.
"Ianya merupakan satu proses, jadi macam disebut oleh rakan saya (Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu) iaitu ia berkaitan dengan isu bajet dan keabsahan kerajaan hari ini.
BACA: Belanjawan 2021: Wakil pemimpin Pakatan Harapan jumpa Menteri Kewangan
BACA: Belanjawan 2021: PH kemuka enam cadangan kepada Kementerian Kewangan
"Libat urus pertama ini kita dengan dari pihak menteri, kita baru memulakan langkah. Jadi, soalan (sokongan) itu terlalu pramatang untuk saya jawab buat masa ini," katanya kepada pemberita, di bangunan Kementerian Kewangan di sini pada Ahad.
Turut hadir adalah Guan Eng, Mohamad dan sembilan lagi wakil PH.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PH bersedia untuik memberikan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memerangi COVID-19, dengan hasrat menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata negara ketika ini berdepan dengan tiga krisis utama iaitu kesihatan, ekonomi serta politik.
Bagaiamanapun, pertemuan tersebut langsung tidak membincangkan mengenai keadaan politik semasa negara, jelas Guan Eng.
"Hari ini kita bincang dengan YB Menteri mengenai krisis kesihatan dan ekonomi sahaja. Krisis politik kena bincang dengan orang lain," katanya.
#Belanjawan 2021 #Pakatan Harapan #PH #pembangkang #Kementerian Kewangan #PKR #DAP #Amanah #Saifuddin Nasution Ismail #Belanjawan Perpaduan 2021
;