Belanjawan 2021 mampu rapatkan jurang digital rakyat - SKMM
Astro Awani
November 9, 2020 14:57 MYT
November 9, 2020 14:57 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.
Menurut kenyataan pada Isnin, Kerajaan telah memperuntukkan RM9.4 bilion untuk membangunkan Strategi Digital Nasional yang holistik merentasi sektor industri dan rakyat, dan ia selaras dengan hasrat kementerian itu untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga yang sama seperti kemudahan air dan elektrik.
“Belanjawan 2021 telah memberikan tumpuan khusus kepada usaha-usaha untuk merapatkan jurang digital dan menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik dengan adanya Program Jaringan PRIHATIN dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Program Jaringan PRIHATIN yang menelan belanja RM1.5 bilion akan dapat dimanfaatkan oleh lapan juta individu dari golongan berpendapatan rendah (B40).
"Hal ini demikian kerana, bantuan tersebut dapat mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya dalam mendapatkan kemudahan internet.
“Mereka akan menerima RM180 seorang yang boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.
“Ini ditambah pula dengan sumbangan dari pihak industri sebanyak RM1.5 bilion untuk golongan sasaran yang sama,” menurut kenyataan itu.
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI
Malah, di bawah pelan JENDELA itu juga, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta bagi tahun 2021 bertujuan untuk memastikan kesalinghubungan kepada 430 buah sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri bagi pembangunan generasi akan datang.
“Fasa satu (1) JENDELA, yang sudah pun bermula dan berterusan sehingga akhir 2022, akan memberi fokus kepada usaha memperluaskan akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada sebanyak 7.5 juta premis, melebarkan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 96.9% di kawasan berpenduduk; mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 bagi memantapkan rangkaian 4G sebagai asas bagi bagi memperkukuhkan rangkaian 5G.
“Sementara, fasa dua (2) pula akan selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Bagi memastikan perancangan ini berjaya dilaksanakan, kerjasama dan sokongan padu dari pihak negeri amatlah penting,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya lagi, kelancaran dan kesalinghubungan digital yang inklusif akan menjadi asas kepada usaha memacu ekonomi digital Malaysia dan menarik pelabur dari dalam dan luar negara, sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
#SKMM
#ekonomi
#sekolah
#kerajaan
#rakyat
#menteri
#Internet
#Malaysia
#Belanjawan 2021
#5G
#peruntukan
#dana
#teknologi
#pembangunan
#JENDELA
#PRIHATIN