Belanjawan 2021: Majlis Pelancongan Malaysia mahu bantuan kepada semua pemain industri
Astro Awani
November 7, 2020 14:18 MYT
November 7, 2020 14:18 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 seharusnya membantu sektor pelancongan secara menyeluruh, bukannya bantuan secara bersasar kepada kakitangan syarikat penerbangan sahaja.
Ini kerana menurut Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis, semua pemain industri sektor pelancongan terjejas teruk akibat penularan COVID-19.
Sebaliknya, tegas beliau, bajet seharusnya diperluskan kepada semua syarikat yang terjejas.
"Bajet semalam lebih kepada sasaran khas, sasaran 8,000 pekerja daripada syarikat penerbangan, 500 Orang Asli dan memberi khas RM1,000 kepada penjaja Sabah yang terjejas.
"Bukan sahaja di Sabah sahaja, seluruh Malaysia terkesan. Cuba tengok Langkawi, Pulau Redang, pelancong memang tak ada," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Uzaidi yakin sekiranya bajet itu dilihat dalam konteks yang lebih luas dengan mengambil kira semua pihak, industri pelancongan dapat membangun semula.
Ekoran itu beliau berharap, dapat mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi mengusulkan hasil perbincangan Persidangan Kemuncak Pelancongan Malaysia yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Persidangan itu katanya, akan disertai lebih 10,000 pemain industri pelancongan dari pelbagai negara.