Belanjawan 2021 lulus, bukti ahli Parlimen matang - Masing
Astro Awani
November 26, 2020 20:05 MYT
November 26, 2020 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis membuktikan ahli Parlimen di negara ini cukup matang sekali gus membolehkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mentadbir negara terutama dalam situasi penularan COVID-19.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, kemampuan kerajaan menangani impak COVID-19 dengan baik juga antara faktor ahli Parlimen memilih untuk menyokong belanjawan itu.
“Cabaran yang timbul susulan pandemik ini adalah satu ancaman baharu kepada Malaysia dan dunia. Bagaimanapun, pemimpin kita mampu menggalas tugas mereka dan telah melakukan yang terbaik untuk menenangkan keadaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, Masing juga berharap agar ahli-ahli Parlimen supaya memberi fokus kepada pembangunan negara agar terus berdaya saing sekali gus mengurangkan berpolitik.
Sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Peringkat Dasar) selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli Parlimen melalui undian suara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu pada jam 3.28 petang, pada Khamis.
Terdahulu, RUU Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kemudiannya disokong semua ahli Parlimen kerajaan.
#Belanjawan 2021
#ahli parlimen matang
#Belanjawan 2021 lulus
#RUU Perbekalan 2020
#Sidang Dewan Rakyat
#James Jemut Masing