Belanjawan 2021: Kurang 'umphh', visi selamatkan ekonomi rakyat kurang jelas - Ong Kian Ming

Fareez Azman
November 7, 2020 16:34 MYT
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, penjelasan yang tepat perlu diberikan kerajaan berkenaan setiap perbelanjaan Belanjawan 2021.- Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Visi Belanjawan 2021 dilihat masih kurang jelas dalam usaha menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara ketika pandemik COVID-19.
Menurut Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, pengumuman Belanjawan 2021 dengan jumlah sebanyak RM322 bilion itu perlu dijelaskan lebih terperinci agar memanfaatkan kumpulan sasaran.
"Banyak lagi yang perlu dijelaskan (Kerajaan), saya kemukakan tiga perkara utama, pertama saya rasa ramai orang di luar sana juga tidak melihat Belanjawan 2021 yang diumumkan itu ada 'umphh'.
"Sebaliknya, dilihat visi dan strategi menangani COVID-19 itu kurang jelas terutama membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Analisis Belanjawan 2021 di Facebook Kajian Research For Social Advancement (REFSA) bertajuk Paradigma Ekonomi Baru.
BACA: LAPOR LANGSUNG: Belanjawan 2021 - Teguh Kita, Menang Bersama!
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI!
BACA: Belanjawan 2021: Ucapan penuh Menteri Kewangan
Disamping itu, katanya perbelanjaan Kerajaan yang meningkat kepada RM69 bilion dalam Belanjawan itu juga perlu dijelaskan secara terperinci.
"Kita perlukan lebih penjelasan daripada kerajaan mengenai jumlah perbelanjaan ini serta setiap strategi mahupun langkah yang dilakukan.
"Jika tidak, kita tidak tahu apa yang akan dijalankan dengan peruntukan ini, dan adakah langkah yang dijalankan itu akan memberi kesan kepada ekonomi serta kepada kumpulan sasaran pada tahun 2021.
"Contohnya, jika kita berikan geran atau tunai kepada golongan B40, ini lebih berkesan kepada rakyat yang amat memerlukan bantuan kewangan, demi kelangsungan hidup mereka," katanya.
Malah bagi perbelanjaan pembangunan pula, Kata Kian Ming, jika kerajaan dapat memperbanyakkan projek infrastruktur atau pembaikan sekolah di seluruh negara dijangka dapat membantu ramai para kontraktor dan industri berkaitan.
"Contohnya, jika kerajaan membelanjakan RM10 bilion untuk bina infrastruktur di Kuala Lumpur, manfaat hanya akan diterima oleh penduduk sekitar sahaja dan ianya tidak bersasar," katanya.
#COVID-19 #Belanjawan 2021 #ekonomi #Perbelanjaan kerajaan #B40 #Ong Kian Ming #Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #Parlimen #Kuala Lumpur #REFSA
;