Belanjawan 2021: Kerajaan utamakan perkhidmatan awam - CUEPACS

Bernama
November 6, 2020 05:16 MYT
CUEPACS berharap kerajaan boleh membuat lantikan tetap kepada semua kekosongan yang diberikan terutama di sektor-sektor yang kritikal seperti sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan dan sosial. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) zahir penghargaan tertinggi kepada kerajaan atas keutamaan kepada sektor perkhidmatan awam bagi Belanjawan 2021, walaupun tiada kenaikan gaji atau bonus tambahan buat penjawat awam.
Presiden CUEPACS Adnan Mat dalam kenyataan semalam berkata keutamaan kerajaan, meliputi aspek pemerkasaan sistem perkhidmatan dan hal-hal kebajikan penjawat awam ini menunjukkan kerajaan mempertimbangkan cadangan CUEPACS sebelum ini.
"Dalam keadaan yang sukar ketika ini sewajarnya semua pihak tidak mempertikaikan segala bantuan atau manfaat yang diterima oleh penjawat awam melalui Belanjawan 2021, sebaliknya bersama-sama berganding bahu bagi membawa Malaysia kembali ke landasan yang terbaik.
"Belanjawan ini juga banyak memberi manfaat kepada penjawat awam terutama mereka yang terdiri isi rumah yang perlu dibantu, harus diingatkan bahawa tidak semua penjawat awam yang berpendapatan tinggi malah ada dalam kalangan mereka mempunyai pasangan yang turut sama-sama terjejas ekoran pandemik COVID-19," katanya.
Adnan berkata pihaknya amat berpuas hati dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang memperuntukkan RM1 bilion bagi membendung gelombang ketiga COVID-19 sebagai tanda kerajaan menyokong kerja keras penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan.
Beliau turut memuji inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan peruntukan RM6.6 bilion yang dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta penerima, dilihat memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan penjawat awam berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Sara Hidup.
"Lebih istimewa apabila petugas barisan hadapan KKM diberikan pemberian 'one-off' RM500, bagaimanapun CUEPACS melihat konteks petugas barisan hadapan itu harus diperluaskan lagi kepada beberapa jabatan lain seperti anggota polis atau tentera dan tidak hanya tertumpu kepada petugas KKM sahaja," katanya.
Sementara itu, beliau berkata langkah kerajaan memperkenalkan inisiatif My STEP atau Short-term Employment Programme dengan peruntukan lebih RM700 juta dan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam serta Syarikat Berkaitan Kerajaan bermula Januari 2021 merupakan bukti sektor perkhidmatan kerajaan wajar diperkasakan.
"CUEPACS berharap kerajaan boleh membuat lantikan tetap kepada semua kekosongan yang diberikan terutama di sektor-sektor yang kritikal seperti sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan dan sosial.
"Jangan dibazirkan tenaga kerja mereka yang sudah diberikan pengalaman sebaliknya manfaatkan sepenuhnya modal insan tersebut dan CUEPACS mencadangkan agar pekerja-pekerja kontrak yang diberhentikan sebelum ini seperti daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Seranta Felda dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberikan keutamaan dalam inisiatif MySTEP," katanya.
Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM600 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah manakala pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen diberikan bantuan khas kewangan RM300.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100,000 kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi 2021 dan 2022 serta memperuntukkan RM310 juta bagi Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia.
-- BERNAMA
#Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam #cuepacs #penjawat awam #Belanjawan 2021 #COVID-19 #bantuan prihatin rakyat #Adnan Mat #kebajikan #sistem perkhidmatan #BPR #petugas barisan hadapan #lantikan tetap #kekosongan
;