Belanjawan 2021 harus utamakan belia, pencari rumah pertama
Bernama
Oktober 27, 2020 19:33 MYT
Oktober 27, 2020 19:33 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 harus mengutamakan penciptaan pekerjaan dan pemacu perkembangan pendapatan, terutamanya untuk golongan belia dan pencari rumah pertama, demikian menurut portal hartanah dalam talian PropertyGuru Malaysia.
Katanya, minat pemilikan kediaman semakin melonjak, namun pengangguran dan kehilangan pendapatan susulan wabak COVID-19 menghalang pembeli daripada membuat pembelian hartanah.
Dalam kenyataan hari ini, pengurus negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez berkata permintaan paling menonjol dalam senarai harapan industri adalah pengembangan insentif Kempen Pemilikan Rumah (HOC), seperti pengecualian duti setem dan instrumen pemindahan kepada pasaran sekunder.
Terdapat juga seruan untuk melanjutkan insentif HOC hingga Mei 2021.
Menurut PropertyGuru Malaysia Consumer Sentiment Study pada suku kedua 2020, 39 peratus dan 11 peratus peserta berpuas hati, masing-masing dengan pembiayaan moratorium Bank Negara dan Bantuan Prihatin Nasional.
Kajian itu juga menunjukkan, pencari kediaman berumur 22-29 dan golongan penyewa berkemungkinan besar akan membeli hartanah selepas PKP, dengan 47 peratus daripada pencari kediaman dan 51 peratus penyewa masing-masing menyatakan pandemik ini tidak melambatkan potensi pembelian mereka.
"Justeru, pemacu ekonomi yang menjana pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan, di samping insentif digitalisasi dan teknologi kediaman (proptech) bagi meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif terkini dan peluang sedia ada, adalah kunci utama kepada pasaran hartanah apabila Malaysia kembali pulih daripada pandemik," kata Fernandez.
Sementara itu, peserta hartanah menekankan kemungkinan melanjutkan tempoh pinjaman maksimum dan sedang mengkaji kriteria kelayakan untuk pemohon pinjaman perumahan.
"Mengenai kajian semula kriteria kelayakan dan pemanjangan tempoh pinjaman, institusi kewangan biasanya mempunyai keutamaan mereka sendiri dari segi pengurusan risiko dan meminimumkan pinjaman tidak berbayar.
"Dalam pada itu, keprihatinan pemaju terhadap kos pematuhan, jika ada, akan memudahkan perniagaan mereka, dan kajian semula garis panduan pemilikan hartanah warga asing mungkin dapat mengatasi masalah unit tidak terjual sehingga ke satu tahap, tetapi ini tidak disukai oleh golongan pencari rumah di Malaysia," katanya.
Sementara itu Fernandez menambah fokus berterusan terhadap insentif digital, seperti pemberian dana untuk projek rintis aplikasi digital -- terutamanya pemain proptech -- akan membantu mendorong inovasi dan penerapan industri.
Ini katanya adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap inisiatif terkini, baik dari segi hartanah dan bidang-bidang lain juga, seperti peluang meningkatkan semula kemahiran.
"PropertyGuru telah menerajui pelbagai inisiatif proptech, termasuk PropertyGuru Loan Pre-Approval, PropertyGuru FastKey, PropertyGuru Lens dan banyak lagi, seperti satu hub 'one-stop' yang menggabungkan 100 HOC untuk memudahkan semakan pencari rumah," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021
#Belanjawan 2021 Pekerjaan
#pendapatan
#pencari rumah pertama
#hartanah
#pengangguran
#PropertyGuru Malaysia
#Sheldon Fernandez