Belanjawan 2021: Golongan M40 tetap dapat perhatian - Tengku Zafrul
Farhana Joni
November 8, 2020 21:31 MYT
November 8, 2020 21:31 MYT
KUALA LUMPUR: Insentif atau bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) tidak berkurangan dalam Belanjawan 2021, sebaliknya kumpulan itu menerima banyak kelebihan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah keseluruhan bantuan kepada golongan M40 yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun itu pada tahun hadapan bernilai RM10 bilion.
Kata beliau, antara bantuan membabitkan golongan itu adalah pengurangan bayaran cukai sebanyak satu peratus dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada sembilan peratus serta pembayaran bersasar moratorium untuk golongan M40.
"Ini memberi lebih kurang RM90.3 bilion yang masuk ke dalam ekonomi. Pelbagai lagi insentif cukai diberikan kepada M40 dan bantuan pembayaran bersasar yang dimudah cara untuk golongan terkesan.
"Ia termasuk juga moratorium yang mana peminjam termasuk M40 perlu hanya membuat deklarasi sendiri seperti hilang pekerjaan dan pendapatan untuk mendapatkan lanjutan moratorium secara automatik," katanya ketika ditemu bual di TV3 di sini, malam ini.
Tambah Zafrul, masyarakat tidak boleh hanya melihat bantuan jangka pendek kerana perancangan jangka sederhana dan panjang turut dibuat oleh kerajaan.
"Dalam hal ini, usaha kerajaan menyediakan sekurang-kurangnya 500,000 peluang pekerjaan kepada golongan M40 merupakan insentif yang lebih lestari bagi jangka panjang," katanya.
#engku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Menteri Kewangan
#Belanjawan 2021
#M40
#pendapatan sederhana
#Moratorium
#KWSP