Belanjawan 2021: Dua pilihan moratorium bermula Disember 2020
Harits Asyraf Hasnan
November 6, 2020 18:01 MYT
November 6, 2020 18:01 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan akan menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40 yang merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata selain BSH dan BPR, peminjam dari kalangan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman di bawah RM150,000 turut layak menerima manfaat daripada dua pilihan yang akan diberi.
"Pilihan pertama adalah menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan atau pilihan kedua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama 6 bulan.
"Peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan opsyen dan menyempurnakan dokumentasi. Untuk peminjam dari golongan M40, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman akan dipermudahkan.
"Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau self-declaration pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik. Fleksibiliti-fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020," katanya pada pembentangan Belanjawan 2021.
Katanya, dengan peralihan ke arah Bantuan Pembayaran Bersasar mulai 1 Oktober yang lepas, institusi perbankan telah terus menawarkan moratorium lanjutan dan lain-lain kaedah bantuan pembayaran.
Setakat ini, lebih daripada 650,000 permohonan bantuan pembayaran telah diterima, dengan kadar kelulusan tinggi iaitu 98 peratus.
Malah, katanya bantuan dari segi pemanjangan moratorium atau fleksibiliti pembayaran balik telah diberikan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, serta kepada individu dan PKS yang pendapatannya terus terjejas oleh wabak COVID-19.
#Belanjawan 2021
#Moratorium
#pinjaman
#bayaran balik hutang
#COVID-19
#Tengku Zafrul
#bayar balik pinjaman
#pinjaman bank 2021
#BSH
#BPR
#B40
#Bantuan Sara Hidup
#bantuan prihatin rakyat
#Belanjawan 2021 Bantuan Sara Hidup