Belanjawan 2021 disifatkan sebagai 'ibu segala bajet', perlu berpihak kepada rakyat
Astro Awani
Oktober 29, 2020 15:46 MYT
Oktober 29, 2020 15:46 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada minggu depan disifatkan sebagai 'ibu segala bajet'.
Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid berkata, ini kerana belanjawan pada kali ini bakal menyaksikan hala tuju negara dalam menyelesaikan krisis yang melanda negara.
"Kali ini, negara berdepan dengan tiga krisis termasuk kesihatan, ekonomi dan politik pada masa yang sama.
"Jadi Belanjawan 2021 sepatutnya memfokus kepada isu-isu yang memihak kepada rakyat seperti mewujudkan perkerjaan dan sebagainya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Fakhrurrazi berpendapat Ahli Parlimen kedua-dua blok pembangkang dan kerajaan perlu bekerjasama dalam merencanakan hala tuju Belanjawan2021 sebagai agenda untuk rakyat.
Pada masa yang sama katanya, pembangkang juga perlu diberi peluang untuk mencadangkan beberapa dasar alternatif supaya menjadi sebahagian daripada Belajawan 2021.
"Saya rasa ini adalah konsensus penting kepada Parlimen kerana ia akan menambahkan kematangan Parlimen dan pllitik yang lebih baik selain memberi satu desakan kepada Parlimen untuk menyelesaikan isu-isu rakyat," jelasnya.
Beliau menjelaskan, kerajaan dijangka memberi satu peruntukan yang besar bagi memulih dan membangunkan semula ekonomi negara.