Belanjawan 2021 diharap bantu pulih pelancongan negara - Nancy

Bernama
November 4, 2020 05:43 MYT
Nancy berkata kemudahan infrastruktur pelancongan, program 'outreach, upskilling and reskilling' juga akan diberi keutamaan oleh kementerian, selain mempelbagaikan produk dalam industri tersebut. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini diharap dapat membantu memulihkan sektor pelancongan, seni dan budaya, selain memberi suntikan kepada perancangan pembangunan ekonomi negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata belanjawan itu juga diharapkan dapat memberi peluang kepada kementerian membantu penggiat industri di bawahnya agar terus kukuh, sekali gus menyokong pemulihan ekonomi negara pada masa akan datang.
"Kementerian yakin sektor pelancongan, seni dan budaya, bersedia dan menjadi penggerak utama kepada pembangunan ekonomi secara menyeluruh.
"Ini adalah rantaian ekonomi yang amat besar, merentasi pelbagai segmen ekonomi melibatkan aspek penginapan, pengangkutan darat, laut dan udara, makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset-aset warisan seni budaya serta pengurusan acara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata dalam memastikan sektor itu terus berkembang, kementerian akan mempergiatkan usaha meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam merancakkan industri pelancongan, seni dan budaya.
"Ia boleh dilakukan dengan membangunkan pusat data raya bagi membantu pemasaran dan promosi produk serta perkhidmatan berkaitan pelancongan, seni, budaya dan warisan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy berkata kemudahan infrastruktur pelancongan, program 'outreach, upskilling and reskilling' juga akan diberi keutamaan oleh kementerian, selain mempelbagaikan produk dalam industri tersebut.
"Kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri serta penggiat-penggiat industri ini, bagi menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang lestari dan kaya budaya," katanya.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #pelancongan #COVID-19 #teknologi #Nancy Shukri #seni dan budaya #perancangan pembangunan ekonomi negara
;