Belanjawan 2021: DAP gesa peruntukan tambahan RM45 bilion, senarai lima teras utama
Hasimi Muhamad
Disember 12, 2020 10:41 MYT
Disember 12, 2020 10:41 MYT
KUALA LUMPUR: DAP menggesa agar kerajaan memperuntukkan sejumlah RM45 bilion lagi dalam Belanjawan 2021 dalam usaha menyelamatkan pekerjaan dan Penguncupan Indeks Pengeluaran Industri (IPI).
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata kadar pengangguran tidak jangka dan penguncupan IPI masing-masing mencatatkan peratusan 4.7 peratus dan 0.5 peratus pada Oktober lalu.
Justeru, jelas Ahli Parlimen Bagan itu, peruntukan tambahan tersebut diperlukan demi mewujudkan sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan memperlahankan pemberhentian pekerjaan, kehilangan pekerjaan serta penutupan perniagaan.
“Kerunsingan kini meningkat terhadap wujudnya pertumbuhan ekonomi yang positif untuk suku akhir tahun ini dan pertumbuhan ekonomi 7.5 peratus tahun depan seperti yang diramalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kerajaan harus membantu dengan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion yang serupa untuk tahun depan jika kita ingin menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menyekat kadar pengangguran merosot kepada paras tertinggi 5.3 peratus sebelum ini pada Mei 2020 semasa kawalan pergerakan seluruh negara COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Guan Berkata peruntukan RM45 bilion itu akan digunakan untuk menghadapi lima teras utama termasuk kenaikan bantuan bulanan kebajikan masyarakat daripada RM200 hingga RM300 kepada RM1,000.
Ia katanya termasuk kepada golongan penganggur yang dijangka mencecah satu juta individu, yang menelan belanja RM12 bilion setahun.
Sementara itu, empat lagi teras utama adalah seperti berikut:
- Pelanjutan secara automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20 peratus teratas, selama enam bulan selepas 30 September, yang akan menelan belanja RM6.4 bilion dan dapat membantu lapan juta individu dan syarikat.
Ini berbanding dengan pelanjutan secara bersasar moratorium pinjaman bank dan bantuan bank sekarang selepas 30 September, yang hanya membantu 645,000 peminjam, bersamaan dengan hanya lapan peratus daripada lapan juta peminjam sebelum ini.
- Insentif pengambilan pekerja untuk jangka masa dua tahun, di bawah skim Malaysia@Kerja dengan RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan bagi mendorong majikan mengambil pekerja tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2020.
Memperluas skim ini untuk merangkumi 600,000 pekerja dan majikan Malaysia akan menelan belanja RM13 bilion. Ini juga dapat membantu lebih daripada 500,000 belia yang menganggur.
- Baki RM4 bilion harus dibelanjakan untuk mendigitalisasikan pendidikan termasuk membeli komputer riba bagi menyediakan pembelajaran atas talian bagi pelajar yang tidak dapat menghadiri sekolah.
- Pemberian kewangan berjumlah RM10 bilion harus diberikan untuk memberi talian hayat bagi perniagaan baharu dan sedia ada, lanjutan pinjaman dan kredit, terutamanya untuk industri pelancongan yang sedang lumpuh.
Selain itu, bekas Menteri Kewangan itu menambah, penguncupan IPI tahun-ke-tahun (y-o-y) pada Oktober 2020 sebanyak 0.5 peratus adalah satu kejutan berikutan pertumbuhan tiga bulan berturut-turut pada bulan Julai, Ogos dan September, ketika negara menghadapi kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengatakan sebelum penguncupan 0.5 peratus IPI pada Oktober 2020, IPI bertumbuh 1.2 peratus pada bulan Julai, 0.2 peratus pada bulan Ogos dan satu peratus pada bulan September.
“Ramai yang mengharapkan pengangguran menurun dan IPI terus bertumbuh pada bulan Oktober berikutan pelonggaran sekatan pergerakan COVID-19,” katanya lagi.
#Lim Guan Eng
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Belanjawan 2021
#pendidikan
#pandemik
#COVID-19
#Malaysia
#DAP
#Peruntukan RM45 bilion
#Tambahan belanjawan
#pengangguran