Belanjawan 2021 bukti kerajaan serius dan responsif - UiTM
Azyyati Ahmad
November 7, 2020 11:35 MYT
November 7, 2020 11:35 MYT
KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 memberi gambaran keprihatinan kerajaan yang komited memberi respons positif berdasarkan keperluan semasa rakyat yang memerlukan.
Demikian disuarakan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim yang menghargai sejumlah RM6.5 bilion yang diperuntukkan kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM.
Beliau juga menyokong usaha ke arah Pendigitalan Pembelajaran TVET yang menurutnya membuktikan kerajaan prihatin terhadap pemerkasaan serta kemajuan pendidikan masa hadapan Bumiputera.
“Ia juga menggambarkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pendigitalan pembelajaran TVET yang sangat berpotensi untuk menyerlahkan lagi kemampuan Bumiputera.
“UiTM sangat berterima kasih terhadap Kerajaan yang memperuntukkan sejumlah RM6.5 bilion kepada Institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM serta pendigitalan pembelajaran TVET,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen semalam, antara lain mengumumkan, RM6.5 billion diperuntukkan untuk akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera menjalankan program pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program ke peringkat diploma.
Mohd Azraai berkata, keprihatinan kerajaan tersebut menyuntik semangat dan komitmen seluruh warga UiTM untuk membentuk masa hadapan yang cemerlang, khususnya dalam merealisasi harapan menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025.
Dalam masa yang sama, peruntukan RM4.6 bilion dalam memperkasakan usahawan bumiputera juga dilihat sebagai satu lagi bukti kerajaan responsif akan kesulitan usahawan bumiputera ketika ini.
“Sebagai contoh, pembiayaan kepada PKS Bumiputera, Program Peningkatan Keupayaan dan Program Peningkatan Kapasiti ini adalah inisiatif Kerajaan yang konstruktif bagi merangsang kembali dan memperkasa usahawan bumiputera yang terkesan,” katanya.
#Belanjawan 2021
#Bajet 2021
#UiTM
#pendidikan
#kerajaan
#Parlimen
#Bumiputera
#MARA
#Mohd Azraai Kassim
#Universiti Teknologi MARA
#TVET