Belanjawan 2021 bukti kerajaan prihatin, mampu bantu industri terjejas akibat COVID-19
Astro Awani
November 6, 2020 20:16 MYT
November 6, 2020 20:16 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat dan industri yang terkesan akibat COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Belanjawan 2021 itu juga membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin terhadap nasib rakyat.
"Peruntukan yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan ini bertepatan dengan peranan yang sedang dimainkan oleh MITI iaitu kementerian bertanggungjawab dalam sektor ekonomi negara.
"Kita sedang berusaha dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melihat bagaimana langkah-langkah inisiatif dapat menyokong dan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara melalui pengukuhan daya saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya dalam sidang media di Parlimen, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azmin berkata kementerian tersebut memfokuskan untuk menarik pelabur asing yang berkualiti dan bernilai tinggi bagi memulihkan semula ekonomi negara.
Katanya, impak perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan membuka peluang yang luas kepada Malaysia.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Belanjawan 2021 dilihat meletakkan asas kukuh kepada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) termasuk menaik taraf infrastruktur jaringan jalan raya.
"Bajet ini juga merangkumi hal-hal berkaitan dengan kelestarian alam sekitar, sampah-sarap dan sungai... ia adalah belanjawan yang cukup komprehensif.
"Kita harap rakyat Malaysia akan menerima dan kita mendoakan semua Ahli Parlimen dapat menyokong Belanjawan tersebut," katanya.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan peruntukan kepada kementerian tersebut sebagai landasan kuat untuk pembangunan sektor kesihatan awam dan rawatan premier.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain memerangi COVID-19, ia satu kerangka jangka panjang dalam menggalakkan rakyat negara ini menjalani hidup sihat.
"Pada tahun 2021, sebanyak RM31.94 bilion (diperuntukkan) berbanding RM30.6 bilon pada 2020.
"Selain itu, peruntukan RM1 bilion pada 2021 untuk kita mempertingkatkan lagi saringan dan kesihatan awam dengan membekalkan kit ujian saringan," ujarnya.
Terdahulu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memperuntukan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM322.5 bilion pada tahun hadapan yang dianggap terbesar dalam sejarah.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan bercadang untuk memperuntukkan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.
#Mustapa Mohamed
#Azmin Ali
#KKM
#PKS
#MITI
#Kementerian Kewangan
#Belanjawan 2021
#COVID-19
#Adham Baba
#Tengku Zafrul