Belanjawan 2021: Anwar simpati kepada Tengku Zafrul kerana jadi mangsa orang politik
Firdaus Azil
November 9, 2020 13:54 MYT
November 9, 2020 13:54 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana terpaksa menurut ‘kehendak politik’ pihak tertentu dalam menyediakan Belanjawan Negara 2021.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, sepatutnya peruntukan itu boleh disalurkan kepada perkara lain yang lebih mendesak.
“Tetapi ini saya simpati kerana Menteri Kewangan bukan orang politik. Orang masukkan dia sebagai Menteri. Saya nak beritahu Menteri Kewangan, kalau jadi macam ini, yang kena jawab Menteri sendiri.
“Jadi sebagai sahabat yang simpati, batalkan sajalah (peruntukan tertentu),” katanya lagi.
SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI
Anwar berkata sedemikian ketika merujuk kepada peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan geran one-off RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Anwar berkata, ia seakan-akan sesuatu yang tidak munasabah apabila banyak peruntukan lain yang lebih penting, telah dipotong, dan diberi laluan kepada penubuhan JASA, yang beliau dakwa alat propaganda politik.
Selain itu, beliau berkata, badan bukan kerajaan (NGO) PeKT itu juga adalah alat politik kelompok menteri tertentu.
“Itu saya sebut tadi Menteri Kewangan menjadi mangsa orang politik. Bagi hujah karut apa pun orang tak boleh terima. Awak cakap simpati kepada rakyat, bagi RM300 dekat nelayan, bagi subsidi padi, tapi untuk kroni politik, teruskan propaganda kotor, lebih RM80 juta diberikan (kepada JASA).
“Saya minta Menteri Kewangan batalkan peruntukan ini, juga kepada KPKT dengan NGO itu.. One-off geran dari mana? RM8.6 juta untuk kesenangan kelompok menteri KPKT ini. Mana boleh,” tegasnya lagi.
Anwar berkata, beliau menganggap perkara itu sebagai ‘unprecedented’, kerana peruntukan sebesar itu boleh dimasukkan dalam perkara lain yang lebih berkaitan dengan usaha kerajaan menangani COVID-19.
#Anwar Ibrahim
#Ketua Pembangkang
#Dewan Rakyat
#Belanjawan 2021
#Jabatan Hal Ehwal Khas
#jasa
#Penggerak Komuniti Negara
#KKMM
#KPKT
#Saifuddin Abdullah
#Zuraida Kamaruddin
#politik
#NGO
#undang-undang
#COVID-19
#mangsa
#rakyat
#pembangkang