KUALA LUMPUR:Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menjelaskan bahawa partinya akan melihat dahulu jawapan menteri kewangan kita menggulung Belanjawan 2021 sebelum membuat keputusan menyokong atau menolak belanjawan tersebut.

Beliau menjelaskan sekiranya beberapa tuntutan dari Pakatan Harapan, Pejuang dan UMNO antaranya melanjutkan moratorium, perbelanjaan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan pengeluaran wang akaun 1 KWSP diterima Amanah akan berbincang dengan parti-parti komponen PH untuk menyokong Belanjawan 2021 atau sebaliknya.

Hujah Mohamad, banyak perbelanjaan yang dimasukkan dalam Belanjawan 2021 bukan keperluan utama ketika berdepan pandemik COVID-19 antaranya pengubahsuaian pejabat beberapa kementerian yang sepatutnya tidak diutamakan.

"Saya mengatakan, kami bergantung kepada jawapan Menteri Kewangan yang akan diberi bila dia menggulung perbahasan nanti.

"Kalau ditunaikan beberapa perkara yang diutarakan oleh ketua pembangkang dan kami antaranya soal moratorium, JASA dan duit KWSP, kalau diberikan perkara-perkara itu boleh dipertimbangkan untuk sokong.

"Itu pun bergantung kepada Pakatan Harapan, saya tidak sebut 11 orang ahli parlimen Amanah akan menentang, menentang atau tidak bergantung kepada jawapan Menteri Kewangan dalam menggulung perbahasan nanti sama ada menimbang permintaan PH atau pembangkang yang lain," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau menjelaskan ketika ini, ahli-ahli Parlimen Amanah membuat cadangan menerusi perbahasan untuk dipertimbangkan oleh Menteri Kewangan.

Membatalkan peruntukan RM85 juta kepada JASA dan melanjutkan moratorium serta membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP merupakan antara tuntutan utama Amanah.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menjelaskan sekiranya Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz bersetuju dengan tuntutan itu, Amanah dan Pakatan Harapan akan segera berbincang untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021.

"Antara banyak tuntutan itu ialah kena batalkan peruntukan RM85 juta kepada JASA, moratorium hendaklah diteruskan dan juga penyimpan KWSP boleh keluarkan untuk wang mereka dalam RM10,000 untuk modal perniagaan.

"Kalau Menteri Kewangan boleh beri itu, kami akan bincang segera untuk menyokong atau tidak," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan peruntukan untuk kesihatan awam dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding peruntukan JASA.

Beliau yakin, sekiranya Menteri Kewangan dengan peka dengan tuntutan ahli-ahli Parlimen rakyat akan berpuashati dengan Belanjawan 2021.

"Yang pentingnya perlu ditumpukan kepada yang utama untuk kita berhadapan dengan COVID-19 dan kesan kepada pendemik ini.

"Kalau kita lihat RM85 juta dan ubahsuai pejabat MITI itu tidak akan kena mengena dengan COVID-19 ia boleh ditangguhkan.

"Yang penting ialah masalah kesihatan dan bantuan untuk rakyat yang menghadapi masalah akibat COVID-19, saya yakin sekiranya menteri kewangan peka terhadap pandangan ahli Parlimen beliau akan membuat pindaan dan majoriti rakyat akan berpuashati," katanya.

Mohamad menjelaskan peruntukan yang besar untuk JASA akan digunakan untuk memburuk-burukkan pemimpin pembangkang dikalangan rakyat..