Belanjawan 2020: Sabah, Sarawak sepatutnya dapat lebih lagi - Penganalisis ekonomi
Rahimah Abdullah
Oktober 11, 2019 05:22 MYT
Oktober 11, 2019 05:22 MYT
Sabah dan Sarawak sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih tinggi daripada yang diumumkan dalam Belanjawan 2020, ujar Penganalisis ekonomi bebas, Dr Madeline Berma.
Langkah itu selepas melihat keperluan dua negeri berkenaan terutama dari segi pembangunan yang masih ketinggalan.
"Apabila kita melihat jumlah memang bunyinya seperti tinggi. Namun keperluan Sabah dan Sarawak melebihi apa yang diperuntukkan.
"Bagi saya Sabah dan Sarawak sudah lama tertinggal dari segi arus pembangunan, maka peruntukan yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang diperlukan untuk memastikan supaya kesenjangan antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dirapatkan," katanya semasa menjadi tetamu AWANI Sarawak di Astro AWANI pada Jumaat.
Malah, beliau melihat pengumuman belanjawan kali ini tidak memberi keterujaan kepadanya.
"Bagi saya selain (projek lebuhraya) Pan Borneo, yang penting ialah meningkatkan connectivity.
"Di Sabah dan Sarawak, kita lihat laluan air dekat dan bukan sahaja jalan raya tetapi bagi saya ia perlu menghubungkan jalan besar dengan kawasan seperti rumah panjang dan bandar kecil perlu diberi perhatian," katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berpendapat jalan pesisir juga perlu diberi perhatian dan memerlukan peruntukan yang tinggi.
Selain itu, kerajaan juga perlu meneliti semula jurang yang bakal wujud sepanjang tempoh pelaksanaan ekonomi digital.
"Kalau kita lihat apa yang penting, tentang ekonomi digital. Memang Belanjawan tahun ini untuk mereka dalam bidang ini. Tetapi Sarawak paling awal memperkenalkan pelan sendiri untuk digital ekonomi.
"Saya khuatir juga kalau kita hanya menumpukan kepada digital ini, besar kemungkinan kalau kita tidak uruskan dengan baik, ia akan memperluaskan jurang sedia ada.
"Saya tidak tahu bagaimana penghuni rumah panjang di Sarawak misalnya boleh memanfaatkan peluang ini," tambahnya.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dana yang dikhaskan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak.
"Kita dengar tadi ada peruntukan untuk Orang Asli, masyarakat India, dan Cina. Memang saya membayangkan kalau kita tanya mereka akan jawab ia terangkum dalam Bumiputera.
"Namun apabila terangkum di bawah Bumiputera, yang saya khuatir, ia akan terangkum di bawah majoriti Bumiputera iaitu orang Melayu. Jadi ini yang saya khuatir," tambahnya.