Belanjawan 2020: Sabah sambut baik bajet pembangunan infrastruktur
Ruzaini Zulkepli
Oktober 19, 2019 10:15 MYT
Oktober 19, 2019 10:15 MYT
Kementerian Pembangunan dan Infrastruktur Sabah berjanji akan menggunakan mandat penyaluran peruntukan Belanjawan 2020 sebaik mungkin bagi pembangunan mapan infrastruktur di negeri ini.
Menterinya Datuk Peter Anthony berkata, meskipun mempunyai kekangan dan dilihat agak tidak mencukupi, pihak kementerian tetap menyambut baik perkara itu dan agihan peruntukan tersebut akan digunakan sebaiknya.
"Kita maklum dan faham bahawa kedudukan negara kita pada ketika ini juga mengalami masalah kewangan, di mana bajet terpaksa diberikan, kita tahu ia tidak mencukupi untuk pembangunan, terutamanya infrastruktur di negeri Sabah.
"Tetapi kita menerima dan menyambut baik bajet ini. Dan sepertimana yang disarankan oleh Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), bajet akan digunakan sebaik mungkin bagi menyelesaikan atau pun membina beberapa infrastruktur di negeri Sabah ini.
"Contohnya, kita tahu di Sabah banyak lagi prasarana, infrastruktur, jalan, air, elektrik dan sebagainya, yang perlu kita naik taraf," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Narayat dan melakukan tinjauan kepada keluarga daif di Kampung Piasau, di sini, hari ini.
Pada 11 Oktober lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Sabah akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.2 bilion.
Sementara itu, Peter berkata, peruntukan RM50 juta bagi menaiktaraf landasan kereta api di kawasan Gorge Line, Tenom yang turut diumumkan dalam belanjawan itu akan meningkatkan lagi jaringan laluan kereta api di negeri ini.
"Cadangan ini sangat baik untuk memastikan rangkaian kereta api di negeri Sabah ini dapat kita perbaiki. Kita tahu, jumlah penumpang yang mengikuti atau menggunakan jalan kereta api ini adalah seramai 1,600 orang sehari.
"Antara yang menggunakannya adalah murid-murid sekolah kira-kira seramai 800 orang atau lebih, yang menggunakan kereta api daripada Beaufort, Kota Kinabalu hinggalah ke Tenom, "katanya.
#bajet
#Belanjawan 2020
#Infrastruktur
#Kampung Narayat
#keluarga daif
#kereta api
#Kota Kinabalu
#Lim Guan Eng
#mangsa kebakaran
#Mohd Shafie Apdal
#pembangunan
#peruntukan
#Peter Anthony
#Sabah
#sekolah
#Tenom