Belanjawan 2020: Pelan penyelarasan pastikan industri TVET diselenggara lebih sistematik

Madiha Abdullah
Oktober 11, 2019 22:58 MYT
Maszlee Malik berkata jawatankuasa yang diketuai oleh Kementerian Pendidikan itu menghimpunkan semua kementerian yang bertanggungjawab ke atas TVET. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
Peningkatan peruntukan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diselenggara secara sistematik oleh Jawatankuasa TVET untuk memastikan ia dapat diuruskan dengan baik.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata jawatankuasa yang diketuai oleh Kementerian Pendidikan itu menghimpunkan semua kementerian yang bertanggungjawab ke atas TVET.
"Kita mempunyai beberapa pelan penyelarasan dengan pemain industri agar institusi TVET kita benar-benar dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan setiap sen yang disalurkan kepada para pelatih akan membuahkan hasil dengan menghasilkan tenaga kerja berkualiti," ujarnya.
Pembentangan Belanjawan 2020 menyaksikan kerajaan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun 2019 kepada RM5.9 bilion untuk sektor TVET.
Dalam pada itu, Maszlee juga mengalu-alukan pelepasan cukai kepada endownment yang diberikan kepada universiti dan juga mereka yang memberi sumbangan kepada sekolah.
"Kalau diikutkan, memang kita minta lebih untuk pendidikan, tetapi dengan adanya polisi seperti pelepasan cukai ini boleh membantu kita membangunkan sektor pendidikan," tambahnya.
#Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #Menteri Pendidikan #Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional #TVET
;