Belanjawan 2020: Mana perincian peruntukan Kementerian Pertahanan? - Hishammuddin

Astro Awani
Oktober 11, 2019 06:01 MYT
HISHAMMUDDIN: Saya hendak tahu apa Mohamad sudah buat dengan peruntukan yang dibentang tahun lepas untuk kementerian? - Gambar media H2O
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan kekecewaan kerana Belanjawan 2020 yang dibentang pada Jumaat tidak memperincikan inisiatif untuk sektor pertahanan termasuk perbelanjaan Kementerian Pertahanan sepanjang tahun lepas.
Tegas Bekas Menteri Pertahanan itu, Belanjawan 2020 juga tidak menghuraikan isu Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang ditunggu sehingga hari ini.
“Saya tidak bimbang dari segi jumlah, saya bimbang dari segi apa yang dia hendak buat dengan jumlah itu. Kalau peringkat awal dia kata tunggu kepada Kertas Putih Pertahanan.
“Bulan Januari 10 haribulan, dia kata tunggu Julai, 29 Januari, dia kata tunggu Ogos, bila sampai Julai, dia kata tunggu persidangan dewan, sampai dewan dia kata November, hari ini kata tunggu selepas Belanjawan.
“Saya hendak tahu apa dia sudah buat dengan peruntukan yang dibentangkan tahun lepas untuk kementerian? Apa perancangan mereka?
"Kalau jawapan dia masih KPP, saya tidak yakin, dengan apa yang diperkatakan,” katanya dalam satu hantaran terbaru di akaun Facebooknya selepas sesi perbentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.
BACA: Belanjawan 2020: #MalaysiaKerja sedia peluang pekerjaan rakyat
BACA: Kemakmuran Bersama jadi teras Belanjawan 2020
Hishammuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong itu turut mengingatkan bahawa ancaman keselamatan dan pengganas boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, draf KPP itu mengambil pandangan semua pihak, antaranya ahli akademik dan ia antara lain merangkumi penstrukturan gaji yang kompetitif, elaun dan insentif khas, faedah perubatan serta penjagaan kesihatan serta perkara berkaitan perumahan.
Dokumen itu bersifat umum dan tidak mengandungi maklumat sulit serta sensitif berhubung keselamatan negara.
KPP berkenaan merupakan pertama kali dilaksanakan antaranya melibatkan warga ATM dan rakyat yang dibangunkan untuk keselamatan negara.
Pada Mac lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) berkata bahawa KPP itu merupakan sumbangan penting kepada landskap pertahanan negara.
KPP berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.
Selain itu, di bawah KPP berkenaan semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi lain yang berkaitan akan mempunyai garis panduan yang jelas tentang tugas dan peranan masing-masing.
Berdasarkan dokumen Aturan Urusan mesyuarat dan Usul-usul, KPP itu telah disenaraikan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen.
Sesi Dewan Rakyat telah mula bersidang setiap hari Isnin hingga Khamis sejak 7 Oktober lalu dan akan berakhir pada 5 Disember nanti.
Belanjawan 2020 menyaksikan peruntukan sebanyak RM 15.6 bilion kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.
Dari jumlah tersebut, sebanyak RM 12.5 bilion diperuntukkan untuk Belanja Mengurus manakala RM 3.08 bilion bagi tujuan Belanja Pembangunan.
Selain daripada peningkatan peruntukan sebanyak 12 peratus, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM150 juta bagi kerja selenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
Pada masa yang sama, kerajaan turut mengumumkan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia sebanyak RM 250 yang akan dibayar secara one-off kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia.
#Belanjawan 2020 #Dewan Rakyat #Hishammuddin Hussein #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #pengganas #Senangkan Yang Susah
;