Belanjawan 2020: #MalaysiaKerja sedia peluang pekerjaan rakyat

Astro Awani
Oktober 11, 2019 16:55 MYT
Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. - Gambar hiasan BERNAMA
Inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) yang akan dilancarkan bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, secara ringkasnya, Malaysia@Kerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan.
"#GraduanKerja (Graduates@Work) direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama;
"#WanitaKerja (Women@Work) bertujuan mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih.
"Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama," katanya semasa pembentangan Belanjawan 2020 yang di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sebagai tambahan, jelas Guan Eng, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023.
Sementara yang ketiga adalah #WatanKerja (Locals@Work) iaitu program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
"Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama.
"Keempat, #PerantisKerja (Apprentice@Work) adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET," ujarnya.
Justeru, kata Guan Eng, kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi.
Sebagai tambahan jelasnya, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain.
Program #MalaysiaKerja, akan menjadikan warga Malaysia yang menganggur menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat adalah melebihi 90 peratus.
Inisiatif itu akan disediakan oleh kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja.
#Belanjawan 2020 #Belia #cukai #Dewan Rakyat #EPF #kerajaan #KWSP #Lim Guan Eng #pekerja asing #pelajar #pendidikan #rakyat #senangkanyangsusah #wanita
;