Belanjawan 2020: Kerajaan peruntuk RM20 juta cari jaguh kandungan digital

Firdaus Azil
Oktober 11, 2019 17:10 MYT
Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta melalui MDEC bagi memupuk jaguh tempatan dalam penghasilan kandungan digital. - Gambar hiasan
Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi memupuk jaguh tempatan dalam penghasilan kandungan digital, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, langkah itu diambil susulan sektor berkenaan telah dikenal pasti antara sumber yang mampu menjana nilai ekonomi.
Sebagai contoh, Guan Eng berkata, pendapatan industri permainan video dunia melebihi US$150 bilion pada masa ini, dan ianya adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem.
"Oleh itu, kerajaan mahu memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital," katanya lagi.
Bagi tujuan pembangunan Digital Malaysia, akan menyediakan 50 peratus geran padanan dengan jumlah sehingga RM5,000 untuk melanggan perkhidmatan seperti Sistem Jualan Elektronik (e-POS), Perencanaan Sumber Daya Perusahaan (ERP) dan Sistem Pembayaran Gaji Elektronik.
"Geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh selama lima tahun, dan dihadkan kepada 100,000 PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka.
"Di samping itu, sebanyak RM10 juta akan disediakan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi bagi memanfaatkan e-Marketplaces dan platform media sosial," katanya lagi.
Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan turut mengiktiraf potensi dalam industri e-Sukan, dan atas sebab itu mereka akan meningkatkan dana bagi sektor itu sebanyak RM20 juta.
"Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019," katanya lagi.
#Belanjawan 2020 #digital content #Digital economy #e-sports #ekonomi digital #Lim Guan Eng
;