Belanjawan 2020: Kenapa kerajaan lebih utamakan pemaju, warga asing?

Astro Awani
Oktober 14, 2019 18:20 MYT
SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT: Tidakkah kerajaan sedar bahawa, masih ramai rakyat di negara ini terutama golongan B40 dan M40 yang masih belum memiliki rumah. - Astro AWANI
Penurunan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada tahun 2020 dilihat keputusan demi kepentingan pemaju dan warga asing untuk membeli rumah di negara ini.
Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (Bangsa), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, sebelum ini, ramai warga asing dari China, Hong Kong dan Singapura membeli rumah berharga RM1 juta sebagai pelaburan, bukan untuk didiami.
"Dengan turunnya prasyarat harga rumah melebihi RM1 juta yang ditetapkan sebelum ini itu, pasti lebih ramai warga asing yang kaya raya akan membeli kemudahan itu, jadi yang memiliki rumah adalah warga asing bukannya rakyat tempatan yang kurang berkemampuan.
"Tidakkah kerajaan sedar bahawa, masih ramai rakyat di negara ini terutama golongan B40 dan M40 yang masih belum memiliki rumah.
"Kenapa? Ini kerana rumah mampu milik yang diuarkan-uarkan oleh kerajaan ketika ini adalah sekadar unngkapan sahaja, kerana masih ramai rakyat yang tidak mampu untuk membelinya kerana harga ditawarkan adalah dalam lingkungan RM250,000 hingga RM500,000," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Dalam perbentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing bagi mengurangkan lambakan rumah itu yang tidak terjual.
Dalam pada itu, Syed Mohammad Faiz berkata, dalam Belanjawan 2020, kerajaan PH seharusnya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan lebih ramai rakyat terutama golongan B40 dan M40 dapat memiliki rumah.
"Sebaliknya, kerajaan PH mengutamakan untuk mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri tidak terjual yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.
"Buktikan kerajaan PH adalah kerajaan yang prihatin dalam memastikan semua rakyat Malaysia mampu membeli rumah bukannya sekadar hanya 'mampu tengok'," katanya.
#bangsa #Lim Guan Eng #Menteri Kewangan #pelaburan #Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan #Syed Mohammad Faiz Azemmant #warga asing
;