Belanjawan 2020: Jadikan TVET pilihan utama anak muda - Syed Saddiq
Firdaus Azil
Oktober 9, 2019 19:04 MYT
Oktober 9, 2019 19:04 MYT
Kerajaan perlu menyediakan dana khas bagi meningkatkan kadar elaun pelajar jurusan Pendidikan Vokasional dan Latihan Teknikal (TVET), kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Selain itu, Ahli Parlimen Muar itu berkata, ia secara tidak langsung akan menarik lebih banyak penyertaan anak muda ke dalam jurusan TVET, yang jelas telah mencatatkan kadar pengangguran lebih rendah berbanding graduan universiti lain.
Syed Saddiq berkata, tumpuan harus diberikan kepada jurusan itu dalam usaha menyediakan generasi muda yang lebih berkemahiran demi memenuhi aspirasi negara.
“Kita sudah beri banya fikus kepada universiti, Dr Maszlee pun dah beri autonomi kepada pihak universiti, sekarang sudah tiba masa kerajaan melaburkan dana lebih tinggi kepada institusi TVET.
“Saya rasa itu boleh berikan isyarat yang jelas kepada industri-industri, kepada ibu bapa, kepada anak-anak, supaya akhirnya landasan TVET ini adalah pilihan utama mereka,” katanya dalam satu temu bual eksklusif sempena pembentangan Belanjawan 2020, di Parlimen, Jumaat ini.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu berkata, usaha meningkatkan penyertaan generasi muda dalam bidang TVET, tidak boleh datang dari kerajaan semata-mata.
"Persoalannya, bagaimana kita mengubah hati dan minda anak-anak muda untuk menyertainya? Sebab itu saya ada mencadangkan, kita buat banyak sesi dialog bersama dengan pemegang TVET.
"Kita buat sesi dialog bersama dengan anak-anak TVET dengan ibu bapa yang memilih TVET, atau ibu bapa yang tidak memilih TVET,” katanya lagi.
#Belanjawan 2020
#generasi muda
#Menteri Belia dan Sukan
#Syed Saddiq
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#TVET