Belanjawan 2020: 2,000 orang paling kaya di Malaysia akan kena cukai lebih tinggi
Shafizan Johari
Oktober 11, 2019 17:25 MYT
Oktober 11, 2019 17:25 MYT
Golongan yang berpendapatan melebihi RM2 juta bakal dikenakan cukai yang lebih tinggi pada 30 peratus berbanding 28 peratus sebelum ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika mengumumkan kenaikan cukai pendapatan terhadap golongan kaya itu berkata, ia akan memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 orang berpendapatan tinggi di negara ini.
Pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan insentif cukai untuk menyokong pertumbuhan PKS.
"Bagi terus menyokong pertumbuhan PKS, had pendapatan bercukai yang tertakluk kepada kadar 17 peratus akan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM600,000, tertakluk kepada PKS dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat.