Belanjawan 2019: Usaha tingkatkan taraf hidup perlu mampan

Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari
November 5, 2018 12:52 MYT
Masalah kos sara hidup meruncing akibat daripada kadar pertumbuhan pendapatan bergerak lebih perlahan berbanding tingkat harga. -Gambar hiasan
SEJAK Belanjawan 2016 sehinggalah Belanjawan 2019, strategi untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah menjadi agenda utama kerajaan.
Masalah kos sara hidup meruncing akibat daripada kadar pertumbuhan pendapatan bergerak lebih perlahan berbanding tingkat harga.
Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMK11) telah mengariskan strategi-strategi komprehensif yang akan diambil bagi tempoh 2019-2020 khusus untuk menangani masalah kos sara hidup.
Matlamatnya hanyalah satu iaitu mewujudkan sebuah masyarakat berpendapatan tinggi yang menyumbang kepada ekonomi negara dan bukannya sebuah masyarakat yang bergantung kepada bantuan kerajaan.
Idealnya, strategi-strategi bagi menangani kos sara hidup seperti mana yang terkandung di dalam KSP RMK11 perlulah dilaksanakan pada Belanjawan 2019. Walaubagaimanapun, analisis ke atas Belanjawan 2019 mendapati tidak banyak perubahan yang berlaku ke atas strategi-strategi yang dicadangkan berbanding Belanjawan terdahulu.
Mekanisma memperbaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah masih menggunakan kaedah yang sama iaitu terarah kepada bantuan langsung kerajaan yang lebih bersifat strategi jangka pendek. Contohnya, bantuan wang tunai di bawah skim Bantuan Sara Hidup (BSH) masih diteruskan tanpa penambahbaikan.
Jika dirujuk kembali kepada KSP RMK11, terdapat dua strategi sepatutnya diberi pertimbangan dalam Belanjawan 2019.
Pertama, strategi menangani herotan pasaran dengan menggalakkan lebih banyak persaingan yang mewujudkan lebih banyak ruang penawaran barangan dan perkhidmatan pada harga yang berpatutan dan kompetitif. Strategi ini penting kerana struktur pasaran yang berbentuk monopoli mempengaruhi penetapan harga pasaran terutamanya segmen makanan.
Kedua, meningkatkan keupayaan mendapat pekerjaan terutama bagi pekerjaan berpendapatan tinggi. Belanjawan 2019 memberi keutamaan untuk membina kapasiti dan keupayaan melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
Ini pendekatan “tradisional” dan Malaysia memerlukan pendekatan baharu melalui pembabitan langsung pihak swasta. Contohnya, insentif pelepasan cukai boleh dicadangkan ke atas firma yang menggaji, melatih dan memajukan ekonomi golongan B40.
Selain itu, terdapat dua lagi strategi yang penting tetapi tidak diberi perhatian dalam Belanjawan 2019.
Pertama, tiada langkah-langkah untuk menangani kelemahan nilai ringgit. Perlu diingatkan, bahan mentah yang diimport menyumbang sekitar 20 peratus daripada input pengeluaran.
Jadi, susutan nilai ringgit bermakna kos import menjadi lebih mahal dan seterusnya menyebabkan harga barangan di pasaran menjadi lebih tinggi.
Kedua, kerajaan tidak memperkenalkan Exit Policy bagi membantu meningkatkan produktiviti golongan berpendapatan rendah. Contohnya, Exit Policy untuk skim Bantuan Sara Hidup adalah dengan memberi secara bersyarat.
Di dalam isu menangani kos sara hidup, penyelesaian jangka panjang yang terarah kepada penambahbaikan sistem ekonomi perlu diutamakan.

Mohd Yusof Saari (Yusof) adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands.

Beliau merupakan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM dan juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#agenda utama kerajaan #Bajet 2019 #Belanjawan 2019 #Exit Policy #golongan berpendapatan rendah #Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas #kesejahteraan rakyat #kos sara hidup #KSP RMK11 #tingkat harga
;