Belanjawan 2019 mesra rakyat, satu permulaan masa depan lebih cerah - Guan Eng
Bernama
November 2, 2018 19:59 MYT
November 2, 2018 19:59 MYT
Berdepan dengan pelbagai cabaran terutama beban keberhutangan negara dan ekonomi dunia tidak menentu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini membentangkan Belanjawan 2019 "mesra rakyat" yang diyakini mampu mengatasi segala cabaran ekonomi serta mencorak masa depan yang lebih cerah
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan PH tidak akan mensia-siakan amanah dan kepercayaan yang diberikan rakyat melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas apabila menyediakan belanjawan sejumlah RM314.5 bilion dengan tekad membantu rakyat, menjamin pembangunan negara dan yang terpenting memulihkan kedudukan fiskal negara dalam tempoh tiga tahun
"Sesungguhnya, kami berasa amat bertuah kerana diberikan kepercayaan, sokongan dan peluang untuk kerajaan PH mencorak semula pengurusan negara ke arah negara yang lebih maju, berdaya saing dan penuh keikhlasan,' kata Guan Eng.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2019 bertemakan " Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera" di Dewan Rakyat.
Pembentangan Belanjawan 2019 ini mencatat sejarah apabila ia adalah belanjawan yang pertama kerajaan PH sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara susulan kemenangan pada PRU14 pada 9 Mei lepas, mengakhiri dominasi lebih 60 tahun Barisan Nasional.
Pembentangan itu juga menarik perhatian umum apabila menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri buat kali kedua pada umur 93 tahun apabila bersara pada 2003 selepas mengetuai negara selama 22 tahun.
Belanjawan 2019 meyaksikan kerajaan PH terus memberi keutamaan untuk membantu rakyat berpendapatan rendah apabila meneruskan Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM500 hingga RM1,000 membabitkan keluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan.
Penambahbaikan BSH juga dibuat apabila diumum bantuan sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang kepada keluarga berpendapatan bulanan RM2,000 sebulan.
Belanjawan itu juga menceriakan kakitangan awam dan pesara kerajaan apabila kerajaan PH meneruskan tradisi bayaran khas sebanyak RM500 kepada mereka yang berada pada gred 54 ke bawah dan RM250 bagi pesara.
Penghargaan melibatkan kira-kira 1.6 juta kakitangan awam itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion yang akan dibayar pada akhir tahun ini.
#Bantuan Sara Hidup
#Belanjawan 2019
#BSH
#catat sejarah
#Dewan Rakyat
#Lim Guan Eng
#mesra rakyat
#pembentangan
#rakyat berpendapatan rendah