Belanjawan 2019: Harap tiada lagi pelajar miskin tercicir
Astro Awani
November 3, 2018 10:59 MYT
November 3, 2018 10:59 MYT
Peruntukan terbesar Belanjawan 2019 yang diberikan kepada Kementerian Pendidikan dengan RM 60.3 billion dalam pembentangan yang dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat, disifatkan tepat pada masanya.
Menurut Pengarah Global School Leaders Malaysia, Cheryl Ann Fernando, bantuan pendidikan dalam bentuk bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai sejumlah RM2.9 bilion akan memastikan tiada pelajar yang tercicir kerana kesempitan hidup.
“Pelajar miskin tidak sepatutnya terpinggir untuk mendapat pendidikan yang berkualiti, tetapi malangnya kita dapati ramai pelajar yang kurang berkemampuan akan tercicir untuk mendapatkan kualiti pembelajaran yang baik,” katanya.
Dengan lebih peruntukan untuk bantuan ini, Cheryl Ann berkata, proses persekolahan pelajar miskin akan dapat dimudahkan dan mereka akan terus bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran.
Tambahnya, pelajar miskin memerlukan sokongan yang lebih berbanding pelajar daripada keluarga kelas menengah dan atas.
‘Pengalaman saya ketika mengajar, kebanyakan pelajar saya tidak bersarapan ke sekolah. Bantuan makanan, contohnya, akan dapat memastikan mereka makan makanan yang berkhasiat dan ini perlu dilaksanakan dengan baik,” kata bekas guru itu.
Di bawah Belanjawan 2019, RM652 juta diperuntukkan bagi menaik taraf serta menyelenggara sekolah di seluruh negara dan RM100 juta lagi untuk membina semula sekolah daif.
Cheryl Ann berharap usaha tersebut dapat meningkatkan prestasi guru dan murid di seluruh negara.
Menurut beliau yang juga salah seorang ahli jawatankuasa kajian Dasar Pendidikan Negara, peruntukan itu akan mewujudkan suasana sekolah yang kondusif.
“Banyak keadaan sekolah kita yang tidak selesa. Bukan sahaja di kawasan luar bandar atau pedalaman, tetapi juga sekolah di bandar.
"Dengan adanya peruntukan ini, semua sekolah kita akan ada suasana yang baik untuk pembelajaran dan pengajaran," tambahnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019 itu, Lim mengumumkan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dengan 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan pada tahun depan.
#ADIWIRAKU
#Bajet 2019
#Belanjawan
#Belanjawan 2019
#Cheryl Ann Fernando
#Global School Leaders
#guru
#Kementerian Pendidikan
#kesejahteraan rakyat
#Lim Guan Eng
#miskin
#pendidikan
#peruntukan
#sekolah
#tercicir