Beku akaun Bersatu: PM Anwar tegaskan tiada campur tangan daripada kerajaan
Ridauddin Daud
Februari 2, 2023 14:36 MYT
Februari 2, 2023 14:36 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan badan siasatan, penguatkuasaan dan badan kehakiman di Malaysia kekal bebas dan tidak di bawah pengaruh mana-mana pihak.
Menurutnya, adalah tidak bertanggungjawab apabila tokoh politik pembangkang membuat tohmahan bahawa kerajaan memberi tekanan kepada badan-badan tersebut untuk mengambil tindakan kepada pembangkang.
Tegasnya, kerajaan tidak langsung campur tangan dalam termasuk dalam kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Perkara yang berlaku ialah, pertama, ada laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM berkaitan penggunaan wang oleh parti Bersatu.
"Kedua, saya jalankan kerja saya di Kementerian Kewangan (MOF) dan lihat projek-projek yang menelan belanja terlalu tinggi tanpa melalui tender. Kalau tiada tender dan kos tidak melambung tinggi, itu tidak menjadi isu.
"Ia bukan kita menghukum sesiapa. Projek Jana Wibawa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tebatan banjir, kita dapati kos terlalu tinggi. Maka saya dedahkan maklumat dari MOF.
"Apa yang dilakukan SPRM itu bukan tertakluk kepada saya tetapi tertakluk kepada siasatan yang mendapati dalam akaun parti ada lebih RM300 juta. Itu memang harus dijelaskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Khamis.
Tambah Anwar, beliau tiada masalah sekiranya SPRM memeriksa akaun parti lain dan menyatakan, parti lain melakukan audit kewangan parti dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) setiap tahun.
Begitupun, katanya, bukan Bersatu yang mendedahkan akaun parti mereka sebaliknya ia didedahkan penyiasat.
"Sekiranya mereka parti bersih seperti mana diceritakan, mereka kena jelaskan kenapa dalam masa singkat boleh kumpul wang banyak.
"Dari sumber mana dan kepada siapa? Itu tugas SPRM (untuk siasat) dan baru dibawa ke Jabatan Peguam Negara, mengikut prosesnya. Lebih dari itu, saya tidak tahu.
"Yang kami nak tegaskan, arahan siasatan, semua tidak terkecuali untuk parti kerajaan atau pembangkang. Kita tegaskan begini supaya elak sebarang spekulasi," ujarnya.
Astro AWANI pada Rabu melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan akaun Bersatu.
Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut.
Jelasnya, ia juga bagi menyiasat beberapa sumbangan yang ditafsir sebagai suapan atau rasuah melibatkan parti tersebut.