Bekas wartawan TV swasta derita akibat barah
Vivi Sumanti
Januari 14, 2020 16:30 MYT
Januari 14, 2020 16:30 MYT
Bekas wartawan sambilan syarikat televisyen swasta, Nordin Abdullah disahkan menghidap barah (kanser) kelenjar tahap empat yang menyebabkan dia terpaksa menjalani rawatan kimoterapi.
Nordin, 64 tahun disahkan mendapat penyakit itu ketika membuat pemeriksaan kesihatan pada Oktober tahun lalu.
Katanya, sehingga kini dia telah menjalani enam rawatan kimoterapi bagi memastikan sel barah tidak merebak.
"Saya mengetahui tentang penyakit ini ketika mendapatkan rawatan rutin bagi sakit darah tinggi di Hospital Kuala Krai.
"Ketika dirawat, doktor perasan ada benjolan di bawah dagu, saya beritahu saya tidak pernah periksa sebab benjolan itu tidak sakit, namun doktor minta saya buat pemeriksaan lanjut sebelum disahkan menghidap barah kelenjar tahap empat," katanya ketika ditemui di Kuala Nal, di sini, pada Selasa.
Terdahulu, dia menerima kunjungan Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diketuai Presiden, Azran Fitri Abdul Rahim dan Ketua Biro Bernama, Zabidi Ishar serta beberapa ahli KEMUDI.
Nordin menerima sumbangan wang tunai bagi meringankan beban beliau yang kini tidak lagi bekerja selepas tamat kontrak bersama NTV7 tahun lalu.
Bapa kepada enam anak itu berkata, dia perlu menjalani empat lagi rawatan kimoterapi dan rawatan susulan.
Selain wartawan sambilan NTV7, Nordin juga pernah berkhidmat di Unit rancangan televisyen, Majalah 3 di TV3.
"Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang datang melawat dan memberi kekuatan untuk saya melawan penyakit ini," katanya.
Sementara itu, Presiden KEMUDI, Azran Fitri berkata, pihaknya sentiasa cuba yang terbaik untuk kebajikan pengamal media biarpun mereka sudah tidak berkhidmat kerana jasa yang diberikan sepanjang bergelar wartawan atau jurugambar memberi nilai sejarah tersendiri.
Katanya, untuk awal tahun ini saja, pihaknya sudah membantu ahlinya terutamanya yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini mendapat bantuan persekolahan iaitu kasut sekolah anak-anak mereka.
#Azran Fitri
#barah kelenjar tahap empat
#KEMUDI
#Nordin Abdullah
#rawatan kimoterapi
#wartawan hidap barah