Bekas wartawan, tiga rakan mula kayuhan basikal ke Makkah, tunai haji
Bernama
November 24, 2023 08:30 MYT
November 24, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Che Saad Nordin bersama tiga lagi rakannya semalam memulakan kayuhan basikal untuk menuju Makkah bagi menunaikan ibadat haji membabitkan perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km).
Selain Che Saad, 73, kayuhan itu turut diiringi pasangan suami isteri Ahmad Mohd Isa, 35; dan Noradilah Mohd Sapie, 36; serta kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM), Abdul Halim Talha, 56.
Perjalanan mereka melalui jalan darat yang memakan masa tujuh bulan itu akan merentasi tujuh negara iaitu Malaysia, Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum dijangka tiba di Arab Saudi pada pertengahan Mei 2024.
Che Saad yang juga ketua misi kayuhan itu berkata pada perancangan asal impian untuk berbasikal ke Makkah adalah pada 2019, namun ia telah tertangguh beberapa kali ekoran dunia ketika itu dilanda pandemik COVID-19.
"Melalui kayuhan ini, saya ingin menyampaikan mesej kepada generasi muda dan orang luar yang saya sebagai rakyat Malaysia walaupun pada usia emas masih mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika berada di setiap negara yang bakal dilalui.
"Selain itu, kayuhan ini juga adalah manifestasi kesyukuran saya kepada Allah SWT kerana telah mengurniakan nikmat kesihatan yang baik dan mahu menikmatinya melalui kayuhan ke Makkah," katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan kayuhan itu di FRIM, semalam.
Che Saad yang pernah bertugas sebagai wartawan sambilan Bernama di Baling, Kedah berkata beliau bersama tiga rakan lain telah melakukan persiapan rapi termasuk menyelesaikan dokumentasi seperti insurans, visa serta latihan fizikal dengan kayuhan basikal mengelilingi Semenanjung sejak Ogos lepas.
Beliau berkata pada misi kayuhan itu setiap daripada mereka perlu membawa bebanan yang dianggarkan 60 kilogram seperti kit pertolongan cemas, peralatan perkhemahan, baju sejuk, kamera dan alat ganti basikal.
Sementara itu, Noradilah berkata kayuhan basikal pada kali ini adalah sangat berbeza berbanding kayuhan sama beliau dan suami yang pernah dilakukan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah pada 2016.
"Matlamat kali ini lagi besar iaitu menunaikan rukun Islam kelima, haji, jadi tiada lagi kayuhan seperti dulu sambil buat umrah dan boleh lagi berbulan madu dengan suami di negara yang dilalui. Tapi, kali ini setiap perancangan perjalanan perlu lebih serius mengambil kira pandangan dua rakan yang lain," katanya.
Perkembangan semasa misi kayuhan empat warga Malaysia itu boleh diikuti dengan melayari laman rasmi Facebook, Kembara Memburu Hikmah - KMH yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh mereka.
-- BERNAMA