Bekas wartawan hiburan Mustafar AR meninggal dunia

Bernama
Mei 6, 2022 11:30 MYT
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak serta 17 cucu.
SEREMBAN: Tokoh wartawan hiburan Mustafar Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Mustafar AR, 79, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini semalam.
Perkara itu disahkan anak kedua Allahyarham, Muszaidi Mustafar, 50, menerusi catatan di Facebooknya.
"Mohon doakan Abah saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Mustafar yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira 10 pagi ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Zaini Yusop, 76, dan empat anak iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 41 hingga 51, serta 15 cucu dan dua cucu tiri.
Mustafar mula bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu pada 1972 sebelum bersara pada 1998 selain turut menghasilkan beberapa buah buku termasuk Filem-Filem P. Ramlee bersama seniman Allahyarham Datuk Aziz Sattar.
-- BERNAMA
#Mustafar Abdul Rahim #meninggal dunia #wartawan hiburan #komplikasi kesihatan
;